13 orang terbunuh dalam banjir lumpur di selatan California

13 orang terbunuh dalam banjir lumpur di selatan California

LOS ANGELES – AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam kejadian banjir lumpur di selatan California, yang dicetuskan oleh ribut musim sejuk, dan angka kematian dijangka meningkat, lapor agensi berita China Xinhua.

“Kami berharap angka korban tidak bertambah, namun memandangkan usaha mencari masih dijalankan mungkin jumlah korban akan meningkat,” kata Syerif daerah Santa Barbara, Bill Brown.

Beliau berkata, operasi mencari oleh anggota perkhidmatan kecemasan dibantu dengan anjing pengesan dan heliopter.

Pada Isnin ribut musim sejuk kuat yang membawa hujan lebat sekaligus mencetuskan aliran lumpur, berlaku di selatan California di pantai barat Amerika Syarikat.

Siaran televisyen tempatan menyiarkan rakaman yang menunjukkan di kawasan Montecito, barat laut Los Angeles, berlaku runtuhan tanah mengakibatkan pokok tumbang dan menghanyutkan kereta.

Beberapa buah rumah juga mengalami kerosakan.

Seramai 500 anggota bomba dari seluruh negeri turut terlibat dalam operasi menyelamat, kata syerif. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This