Ada konspirasi jatuhkan saya – Presiden PSM

Ada konspirasi jatuhkan saya – Presiden PSM

KUALA LUMPUR: Isu pengguguran sepak takraw sebagai sukan teras negara masih belum berakhir apabila Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail mendakwa wujud konspirasi dalam Majlis Sukan Negara (MSN) yang mahu menjatuhkannya daripada badan induk sepak takraw itu.

Ahmad berkata pihak MSN memberi input yang salah kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengenai sukan itu, dan sekali lagi mengulangi ia satu kesilapan menggugurkan sepak takraw daripada sukan teras.

“Memang salah dan silap (gugurkan sepak takraw)…saya tidak kisah untuk beritahu ada konspirasi mahu menjatuhkan saya kerana saya tahu ada pegawai MSN yang mahu berlawan (merebut jawatan) dengan saya. Saya ada bukti mesej mereka.

”Kamu (pegawai MSN) tidak perlu masuk campur dalam urusan kami. Saya lihat apabila atlet kami menang, mereka memuat naik dalam Facebook MSN, tetapi apabila kalah, salah PSM…(sedangkan) program dilaksana secara bersama. Mereka beri input yang salah kepada menteri,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan senarai atlet kepada Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Mengenai pembentangan hari ini, PSM menyenaraikan 31 pemain lelaki serta 18 wanita dan akan memaklumkan sasaran skuad negara di Sukan Asia 2018 Indonesia pada Jun ini.

Beliau berkata PSM akan menghantar pasukan sepak takraw lelaki negara menyertai Kem Komando di Jugra, Banting pada 15 Jan ini sehingga Mac.

”Kem ini sepatutnya dilakukan lebih awal tetapi disebabkan masih ada majikan tidak melepaskan pemain negara, program ini tertangguh. Saya merayu kepada majikan yang terlibat supaya melepaskan pemain berkenaan menyertai kem tersebut.

“Kem itu bertujuan menaikkan semula motivasi serta memupuk semangat patriotik dalam kalangan pemain yang rata-rata berusia 19 hingga 23 tahun,” katanya.

Kali terakhir, skuad sepak takraw negara menyumbang pingat emas di Sukan Asia pada 1994.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This