Ahli keluarga rayu warga emas ‘merajuk’ pulang rumah

Ahli keluarga rayu warga emas ‘merajuk’ pulang rumah

AYER KEROH: Seorang peniaga makanan tidak menyangka, perselisihan faham kecil bersama bapanya membawa kepada rajuk berpanjangan apabila warga emas itu dilaporkan tidak pulang ke rumah di Bukit Beruang, di sini sejak seminggu lalu.

Mohd Nazri Ahmadu, 33 tahun apabila bapanya Ahmadu Mamat, 69 tahun mula meninggalkan rumah mereka sejak 4 Januari lalu selepas tidak berpuas hati dengan tindakan Mohd Nazri memberikan sejumlah upah kepada pemandu lori yang membantu mereka memindahkan barangan lusuh.

Lebih membimbangkan Mohd Nazri ialah keadaan bapanya yang sudah mulai nyanyuk selepas perniagaan kedai makan warga emas itu di Tehel, di sini baru sebulan ditutup.

Jelas Mohd Nazri, sejak kedai makan yang telah dijalankan bapanya sejak 1992 lalu itu ditutup, bapanya seperti mengalami tekanan.

“Lepas saya siap solat Asar saya terus pergi ke M Sentral menunggu beliau hingga Maghrib. Keesokan harinya saya pergi ke Masjid Kampung Hulu, tempat lama dia bekerja tetapi tidak jumpa,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Sementara itu, ibunya Petimah P.K Maidoni, 59 tahun berkata, hati isteri mana yang tidak gelisah mengenangkan hidup suaminya bersendirian di luar.

Katanya, apa yang membimbangkan, ketika suaminya meninggalkan rumah, dia membawa wang sebanyak RM1,000 dan khuatir sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadapnya.

“Ini merupakan kali pertama dia bertindak sedemikian dan tidak menyangka dia ‘merajuk’ selama ini.

“Kalau boleh minta tolong balik, anak risau semua orang pun risau. Adik-beradik semua risau… dia pun tidak ingat.. Dia pula membawa duit banyak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian itu.

Sesiapa yang mempunyai maklumat atau terlihat warga emas berkenaan, boleh menghubungi Mohd Nazri di talian 0176389802 atau anek (anak saudara) di talian 0126301602 atau melaporkan ke balai polis berhampiran.

CATEGORIES
Share This