Ahmad Idham ajak berdiskusi secara sihat

Ahmad Idham (tengah).

GEMPAL tumpang simpati apabila dimaklumkan filem Pencuri Hati Mr. Cinderella (PHMC) gagal di pasaran. Kutipannya sangat menyedihkan.

Ya, dramanya pernah mendapat sambutan suatu ketika dahulu, namun itu bukanlah penentu filemnya mampu menarik perhatian penonton ke panggung yang rata-ratanya terdiri daripada anak-anak muda.

Pun begitu, betul katanya: “Tengok dulu baru komen”. Masalahnya ada yang belum tengok tapi sudah kritik yang bukan-bukan.

Justeru itulah filem lakonan Ahmad Idham, Atikah Suhaime, Datuk Eizlan Yusof, Cat Farish, Hairul Azreen dan ramai lagi, kini sudah boleh ditonton di Astro First.

Bolehlah tonton dahulu dan kemudiannya komen.

Penerbit dan Pengarah filem ini, Ahmad Idham berkata, tayangan PHMC di saluran itu kerana terdapat permintaan peminat filem itu dan saluran berkenaan.

Tambahan pula, maklum balas sangat positif yang diterima daripada penonton dan media yang menontonnya sebelum ini, menjadikan tarikh penayangan PHMC di Astro First dipercepatkan daripada tarikh sebenar.

“Saya mendapat maklum balas ada permintaan ramai yang mahu PHMC ditayangkan di Astro First kerana tidak berkesempatan menontonnya di pawagam.

“Rata-rata yang belum menonton mendakwa kurangnya lokasi dan waktu tayangan di pawagam tempatan membuatkan mereka terlepas menontonnya sebelum ini,” kata Ahmad Idham lagi.

Pada tayangan PHMC bermula 10 Ogos lalu, filem itu hanya ditayangkan di 33 panggung wayang seluruh negara, lantas beberapa lokasi utama yang dipercayai mampu menarik perhatian penonton tidak dapat liputan meluas.

Penerbit Aifa Motion Sdn Bhd itu berharap, dengan adanya tayangan di TV, mereka yang belum menonton dapat menonton dan menilai jalan cerita filem itu.

Ahmad Idham juga terbuka untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan sesiapa sahaja termasuk pengkritik di laman sosial untuk berdiskusi secara sihat.

“Saya juga mahu mendapatkan maklum balas daripada mereka. Kalau ada perkara boleh diperbetulkan dan dipelajari, saya sedia terima,” kata Ahmad Idham.

Gempal respek dengan Ahmad Idham kerana merendah diri bagi mendengar komen-komen penonton dan golongan yang ke pawagam.