Aini Ideris dilantik semula Naib Canselor UPM

Aini Ideris dilantik semula Naib Canselor UPM

PUTRAJAYA: Prof Datin Paduka Aini Ideris dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) selama dua tahun bermula 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2019.

Menurut kenyataan pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM hari ini, Aini telah menerima surat pelantikan rasmi daripada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini.

Aini merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas kepercayaan, peluang dan amanah kepada beliau untuk menerajui UPM selama dua tahun lagi bagi meneruskan legasi memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada universiti.

“Pelantikan ini adalah satu amanah dan tanggung jawab yang amat besar bagi saya. Insya Allah saya akan menjalankan tugas ini dengan terbaik demi kecemerlangan UPM dan pendidikan tinggi Malaysia. Saya berdoa agar dikurniakan kekuatan fizikal dan mental serta kesihatan yang baik oleh yang Maha Esa.

“Dengan pelantikan ini, saya akan terus berusaha untuk meningkatkan pencapaian UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan unggul yang mengharumkan nama negara di peringkat global,” katanya.

Aini pertama kali dilantik sebagai Naib Canselor UPM pada 1 Januari 2016 bagi tempoh hingga 31 Disember 2017.

Antara pencapaian terbaik UPM semasa Aini menjawat jawatan sebagai Naib Canselor ialah memperkukuhkan ranking ke-229 universiti terbaik dunia dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2017/2018 selain mengekalkan kedudukan sebagai universiti kedua terbaik dalam negara dan mencatat kenaikan kedudukan sebanyak empat tahun berturut-turut. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This