Axiata, Mavcap Tubuh Dana Modal Teroka RM100 Juta

Datuk Seri Jamaludin Ibrahim

Datuk Seri Jamaludin Ibrahim

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Axiata Group Bhd dan Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) bakal menubuhkan dana modal teroka berjumlah RM100 juta bagi merangsang inovasi dan pertumbuhan ekosistem digital Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Datuk Seri Jamaludin Ibrahim berkata bagi alasan ini, syarikat itu menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta kepada dana tersebut dan Mavcap sebanyak RM20 juta dengan baki akan dikumpul daripada pelabur utama lain.

“Kami menyasar memperuntukkan sehingga 70 peratus kepada syarikat Bumiputera dan selebihnya kepada semua rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas memeterai perjanjian penubuhan dana itu di sini, Selasa.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mavcap diwakili oleh ketua pegawai eksekutifnya Jamaludin Bujang.

Jamaludin (Axiata) berkata dana itu disasarkan untuk mewujudkan lima hingga 10 peneraju utama serantau dalam perkhidmatan digital menjelang 2020.

“Menerusi program ini, kami berhasrat membimbing tenaga kerja, bagi membolehkan mereka berkembang dengan lebih besar dan pantas.

“Ini adalah sangat sejajar dengan matlamat kami ‘Berkembang ke Asia’ menerusi hubungan, teknologi dan tenaga kerja.

“Kami juga menyasar membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat dan membantu mentransformasikan ekonomi negara-negara di mana kami beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Jamaludin (Mavcap) berkata untuk layak mendapat dana itu sesebuah syarikat perlu mempunyai pelan perniagaan yang ekonomi dan produk boleh ditingkatkan.

Bagi kategori Bumiputera, sesebuah syarikat perlu mempunyai sekurang-kurangnya 51 peratus pemegangan saham Bumiputera.

Beliau berkata dana itu disasarkan dilancarkan pada akhir tahun dengan pembiayaan maksimum RM10 juta dan memberi manfaat kepada antara 10 dan 15 syarikat.

— BERNAMA