BNM mahu mata wang digital lebih telus

BNM mahu mata wang digital lebih telus

KUALA LUMPUR,. Bank Negara Malaysia (BNM) berusaha untuk menjadikan mata wang digital sebagai medium lebih telus di Malaysia dengan pengeluaran draf cadangan bagi maklum balas orang ramai.

Ia mengenai penggunaan obligasi pelaporan untuk perniagaan pertukaran mata wang digital sebagai institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Menurut BNM, usaha berkenaan bagi memastikan langkah berkesan dilaksanakan untuk menangani risiko pembiayaan keganasan/pengubahan wang haram yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital serta meningkatkan ketelusan aktiviti mata wang digital di Malaysia.

“Dasar yang dicadangkan itu menggariskan obligasi undang-undang, keperluan dan piawaian yang akan ditakrifkan di bawah Jadual Pertama AMLA, yang perlu dilaksanakan sebagai laporan institusi.

“Ini termasuk obligasi ketelusan bertujuan untuk memberikan maklumat relevan kepada orang ramai supaya lebih memahami dan menilai risiko berkaitan dengan penggunaan mata wang digital.

“Ketelusan tinggi juga akan mengelakkan penggunaan mata wang digital dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut BNM lagi, penggunaan obligasi pelaporan terhadap perniagaan pertukaran mata wang digital tidak memberi apa-apa konotasi bahawa bank memberikan kebenaran, perlesenan, sokongan atau pengesahan kepada mana-mana entiti yang terbabit dalam penyediaan perkhidmatan mata wang digital.

“Orang ramai diingatkan mata wang digital adalah tidak sah diperlakukan di Malaysia. Sehubungan itu, perniagaan mata wang digital tidak dilindungi oleh piawaian atau pengaturan kehematan dan amalan pasaran yang terpakai pada institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM .

“Ini selaras dengan obligasi pelaporan semasa yang digunakan di bawah AMLA terhadap institusi pelaporan lain seperti firma undang-undang atau perakaunan dan ejen hartanah yang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa BNM,” menurutnya.

Penggunaan obligasi pelaporan terhadap penukar mata wang digital adalah langkah pertama ke arah menjadikan aktiviti mata wang digital yang lebih telus di Malaysia.

CATEGORIES
TAGS
Share This