Bursa dibuka positif, dijangka teruskan momentum peningkatan hingga 2018

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, disokong oleh prestasi positif beberapa kaunter utama.

Momentum perniagaan pada Khamis juga mendorong pembukaan tinggi hari ini, manakala bursa tempatan turut mendapat tempias positif dari bursa serata Asia.

Penanda aras utama Bursa Malaysia, FBM KLCI dibuka pada 1,780.65 mata hari ini, 1.55 mata lebih tinggi dari pembukaan Khamis. Setakat jam 9.28 pagi, ia berada pada paras 1,780.40 mata.

Pasaran positif dengan 135 kaunter untung berbanding 89 kaunter rugi, sementara 186 kaunter tidak berubah.

Sebanyak 134.67 juta saham bertukar tangan, dengan jumlah transaksi sebanyak RM66.58 juta.

Bursa tempatan dijangka akan meneruskan momentum positif ke hujung tahun ini sehingga memasuki 2018.

Menurut firma penyelidikan AmBank Research, bursa tempatan dijangka memperoleh kesan positif dari prestasi ekonomi negara, pengukuhan ringgit dan harga minyak, serta jangkaan pertumbuhan KDNK yang pesat.

“Kami kekal positif dengan unjuran bursa tempatan pada 2018. Pada pendapat kami, pelabur perlu beri perhatian kepada beberapa faktor pendorong positif yang akan memangkin prestasi bursa tempatan,” kata firma itu dalam laporannya hari ini.

CATEGORIES
TAGS
Share This