Bursa Malaysia Pilihan Pelabur Asing Separuh Pertama 2017

KUALA LUMPUR, 3 Jul : Pelabur asing membeli saham bernilai AS$2.3 bilion (kira-kira RM10.2 bilion) di Bursa Malaysia pada separuh pertama 2017, menjadikannya pembelian asing tertinggi dalam kalangan pasaran saham di rantau Asia Tenggara.

Pelabur asing dilihat membina kedudukan kukuh di Bursa Malaysia untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, apabila menjadi pembeli bersih selama enam bulan berturut-turut, demikian menurut MIDF Research di dalam Laporan Aliran Dana, hari ini.

“Penerima dana pelabur asing kedua tertinggi di Asia Tenggara adalah bursa Jakarta, apabila merekodkan pembelian bersih AS$1.3 bilion (RM5.6 bilion),” tambah firma penyelidikan itu.

Penyertaan pelabur asing di pasaran saham tempatan kekal memberangsangkan minggu lalu, meskipun Bursa Malaysia melalui minggu dagangan yang singkat.

Purata nilai dagangan harian (ADVT) pelabur asing meningkat 26 peratus minggu lalu, daripada RM989.6 juta kepada RM1.24 bilion.

Malah, dagangan pelabur asing begitu cergas pada Rabu dan Jumaat apabila nilai dagangan melebihi RM1 bilion pada kedua-dua hari berkenaan.

Sebaliknya, pasaran pelabur runcit terus hambar, dengan ADTV bagi kumpulan pelabur berkenaan hampir tidak berubah pada RM627.5 juta, berada di bawah angka RM1 bilion buat minggu kelima berturut-turut.

MIDF Research bagaimanapun berkata, berdasarkan data awal daripada Bursa Malaysia, pelabur asing menjual saham bernilai RM298 juta minggu lalu, menjadikan aliran keluar dana mingguan yang terbesar tahun ini ketika pasaran saham tempatan menutup separuh pertama 2017.

Ia menambah, penjualan terbesar direkodkan pada Jumaat lalu iaitu sebanyak RM228.4 juta, apabila pengurus dana menyusun semula kedudukan apabila suku kedua menghampiri penutup.

“Namun, pelabur asing membuat pembelian saham bersih bernilai RM344.4 juta pada bulan Jun.

Ia jumlah bulanan paling rendah tahun ini,” katanya. Keputusan pelabur asing untuk melepaskan pegangan mereka secara besar-besaran minggu lalu turut memberikan kesan kepada prestasi Bursa Malaysia secara keseluruhan.

Minggu lalu, indeks penanda aras pasaran saham tempatan, FBM KLCI jatuh 0.89 peratus, penurunan mingguan terbesar sejak minggu berakhir 4 November 2016.

Bagaimanapun, ia sebahagiannya disebabkan dagangan yang lengang semasa musim cuti perayaan Aidilfitri.

Ringgit juga meneruskan penurunannya buat minggu ketiga berturut-turut minggu lalu apabila nilainya susut 0.08 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Begitupun, ringgit adalah mata wang Asia yang mencatatkan prestasi terbaik pada suku kedua 2017, apabila meningkat 3.09 peratus sepanjang suku berkenaan.

BH

CATEGORIES
TAGS
Share This