Conte akui terlepas Van Dijk

Conte akui terlepas Van Dijk

KETUA jurulatih Chelsea, Antonio Conte, mengakui mahu mendapatkan Virgil Van Dijk sebelum pemain Belanda itu muncul pertahanan termahal dunia apabila berhijrah ke Liverpool.

Van Dijk berpindah ke Anfield dengan yuran perpindahan GBP75 juta (RM407 juta) bulan lalu dan pantas memberikan impak apabila menanduk gol kemenangan buat The Kop dalam aksi pertamanya ketika bertemu Everton dalam saingan Piala FA.

Conte menyifatkan pertahanan itu sebagai pemain yang “amat bagus” dan walaupun hanya Manchester City yang mencatat rekod pertahanan paling bagus dalam saingan liga berbanding Chelsea dengan 16 gol, pengurus dari Itali itu tetap berhasrat mendapatkan khidmat Van Dijk.

“Ini adalah bola sepak dan inilah kehidupan. Dia semestinya sasaran kami tetapi anda perlu tahu, inilah bola sepak.

“Kami memiliki banyak nama sebagai sasaran tetapi anda perlu berjaya mendapatkan mereka. Pasaran perpindahan bukan sesuatu yang mudah untuk mana-mana pasukan,” kata Conte.

“Liverpool mendapatkan Van Dijk dan dalam masa sama melepaskan Philippe Coutinho. Kedua-duanya adalah pemain yang sangat hebat dan ia dilakukan untuk meningkatkan kualiti pasukan.

“Bagi saya, pasaran perpindahan bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila melibatkan wang yang banyak,” tambahnya.

Chelsea bakal bertemu Arsenal dalam aksi pertama separuh akhir Piala EFL, awal pagi esok dan Conte mengakui tumpuan pastinya terarah kepada dua pemain yang menimbulkan persoalan mengenai masa depan mereka, iaitu Alexis Sanchez dan Eden Hazard.

“Sudah tentu kita bercakap tentang seorang pemain (Sanchez) yang bagus dan penting. Saya rasa dia akan kekal bersama Arsenal sehingga akhir musim. Ini hanyalah pendapat saya.

“Hazard juga adalah pemain yang penting buat saya. Dia tampak gembira untuk kekal bersama kami.”

CATEGORIES
TAGS
Share This