Cops tagih pengalaman Zulhamizan

Cops tagih pengalaman Zulhamizan

ZULHAMIZAN Zakaria mengesahkan pelantikannya sebagai ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) yang baharu bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Zulhamizan yang menyifatkan keputusannya bersama PDRM tepat berjanji kepercayaan diberi pengurusan PDRM akan dibalas dengan memastikan The Cops mencapai indeks petunjuk prestasi (KPI).

Bagaimanapun dia tidak mahu menjanjikan sesuatu yang besar sebaliknya bekas pemain kebangsaan dan Pahang itu berkata, misi utamanya adalah meraih keputusan yang lebih baik berbanding musim lalu.

“Pengurusan meletakkan tiga sasaran iaitu menduduki kelompok tiga terbaik liga, layak beraksi Piala Malaysia dan empat terbaik Piala FA.

“Ini cabaran baru buat saya, tapi saya yakin pengalaman tiga musim bersama Kuantan FA dapat diterjemahkan bersama PDRM.

“Saya sangat harap keyakinan pengurusan pasukan terhadap kemampuan diri saya akan dibalas dengan membawa PDRM ke Liga Super seperti KPI yang ditetapkan,” katanya.

Musim lalu, Cops menduduki tangga kelapan Liga Perdana.

Ditanya tentang persiapan skuad Cops, Zulhamizan berkata, beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan mengenai barisan pemain yang akan menyarung jersi PDRM.

“Insya-ALLAH awal bulan Disember kita akan umumkan barisan pemain PDRM.

“Setakat ini pemain import yang akan menyertai PDRM masih lagi dalam pencarian,” katanya yang sebelum ini mengendali skuad Kuantan FA atau dikenali sebagai The Seagulls selama tiga musim sejak tahun 2015.

CATEGORIES
TAGS
Share This