Daftar perniagaan online meningkat

Farid (kanan) dan Ressel (dua, kiri) ketika sidang media program #EveryoneCanSell, semalam.

SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) menerima 57,072 yang mendaftar perniagaan dalam talian (online) sehingga Ogos 2017 dan menyasarkan peningkatan pendaftaran berkenaan menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Bahagian Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan, Farid Ahmad berkata, purata pendaftaran perniagaan online menunjukkan perkembangan positif sejak ia diwajibkan dan selepas mengadakan kerjasama bersama laman web membeli-belah seperti Lazada Malaysia.

Menurutnya, kesedaran pengusaha perniagaan online juga meningkat kerana tindakan mendaftar perniagaan membolehkan mereka memberikan keyakinan kepada pembeli dan SSM boleh melakukan siasatan sekiranya berlaku transaksi yang diragui.

“SSM yakin kerjasama dengan Lazada Malaysia sejak Mei lalu menyumbang kepada peningkatan pendaftaran perniagaan online. Ini adalah kerana selepas mereka menggunakan platform Lazada Malaysia mereka perlu mendaftar dengan SSM dalam tempoh 30 hari.

“SSM juga optimis peningkatan perniagaan atas talian juga akan bertambah kerana kami akan bekerjasama dengan beberapa pemilik laman web membeli-belah lain dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media Persidangan Usahawan e-Dagang, bertemakan #EveryoneCanSell yang dianjurkan Lazada Malaysia di Petaling Jaya, semalam.

Mengulas mengenai program #EveryoneCanSell, Farid berkata, ia adalah kerjasama strategik Lazada Malaysia bersama beberapa agensi kerajaan yang akan meningkatkan produktiviti usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.

“Melalui program ini, peserta didedahkan dengan kepentingan mendaftarkan perniagaan agar perniagaan yang dijalankan sah di sisi undang-undang dan menunjukkan komitmen seseorang untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Dalam program ini, SSM juga turut memperkenalkan produk baharu, SSM BizTrust yang menyediakan platform kepada pengusaha perniagaan online untuk mendapatkan pensijilan BizTrust melalui logo yang akan dipaparkan di laman web perniagaan mereka.

CATEGORIES
TAGS
Share This