Diana Amir mahu seimbangkan hidup dunia, akhirat

Diana Amir mahu seimbangkan hidup dunia, akhirat

KESEIMBANGAN dan keberkatan di dalam hidup kini menjadi misi utama selebriti, Diana Amir apatah lagi sejak bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata. Akui pemilik nama lengkap Nurdiyana Amir Hashim, objektifnya kini hanyalah satu iaitu lebih mementingkan ‘tabung’ akhirat berbanding mengejar keseronokan di dunia semata-mata.

Lalu apabila diundang sebagai salah seorang ikon Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) tahun ini, selebriti kelahiran Birhingham, England ini menerimanya dengan hati terbuka.

Tidak mahu melepaskan peluang yang hadir di depan mata, Diana secara jujur mengakui sebagai seorang manusia yang kini mencari keberkatan baik di dunia dan akhirat, inilah kesempatan terbaik buatnya untuk memanfaatkan selagi diberi ruang untuk menikmati kehidupan dunia sementara.

“Selain memikul tanggungjawab besar sebagai seorang isteri dan ibu, rasanya peluang untuk melakukan kebaikan itu sentiasa ada.

Alhamdulillah, kali ini saya dipilih-Nya untuk bersama-sama pertubuhan kebajikan ini untuk turut bersama-sama melakukan amal kebaikan. Kita hidup hanyalah sekali dan kehidupan itu tidak akan bermakna andai kita jarang melakukan sesuatu yang bermanfaat.

“Masih belum sempurna kebaikan dan saya lakukan setakat ini. Jadi peluangnya sudah terbuka luas di depan mata dan ini saya kira sebagai jackpot untuk kita bersama-sama mendapatkan pahala. Malah kalau kita tidak dapat sertai mana-mana aktiviti kebajikan sekalipun, namun sebagai selebriti yang sudah ada kelompok peminat sendiri, kita boleh sampaikan mesej positif menerusi media sosial juga.

“Saya tiada masalah untuk itu asalnya memberi kebaikan buat semua,” katanya ketika ditemui Hiburan Sinar di sidang media memperkenalkan Ikon MVM 2018 di Hotel De Palma, Shah Alam baru-baru ini. Turut sama berganding bahu menerusi bersama pertubuhan amal ini ialah Datuk Dr Fadzilah Kamsah, Alyah, Mila Jirin, Dila Mubarak, Syamel, Lah Ahmad dan vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat.

Sedia dikenali sebagai antara selebriti yang sinonim menerusi penglibatan di dalam aktiviti amal kebajikan, ibu berusia 31 ini optimis untuk membantu MVM mencapai matlamatnya dengan sebaik mungkin, apatah lagi status sebagai ikon bukanlah suatu amanah yang boleh dipandang sebelah mata.

“Saya bersama rakan selebriti akan cuba menghulurkan bantuan setakat mana termampu, khasnya dalam menyebarkan aktiviti sukarelawan buat para peminat. Semoga semuanya dipermudahkan, insya-ALLAH,” tambah Diana yang mengakui selain terlibat dalam gerak kerja aktiviti sosial, dia juga lebih senang memenuhi tawaran pengacara berbanding lakonan.

Kongsinya, pada fasa sekarang dia turut melakukan sesuatu yang diminati dalam seni, bagaimanapun kata Diana, skop seni yang dijalaninya lebih praktikal sesuai dengan statusnya sekarang.

“Masih lagi aktif dalam seni, tetapi cara dan hala tujunya sudah berbeza daripada sebelumnya. Memang rindu pada lakonan, tetapi mungkin ketika ini masih belum ada watak yang benar-benar sesuai dengan diri. Insya-ALLAH pada masa depan, kita tidak tahu peluang itu akan hadir. Cuma sekarang, saya lebih selesa bergelar hos. Alhamdulillah, siri Bismillah Ad Duha yang bersiaran di Astro Oasis khabarnya akan menjalani penggambaran untuk musim terbaru.

“Seronok jadi pengacara kerana selain mengacara, kita pun turut sama dapat ilmu menerusi informasi yang terkandung. Malah, masanya juga lebih fleksibel. Luang masa untuk berlakon kena hold dulu meski suami tidak pernah menghalang. Katanya kalau lakonan itu boleh sebarkan ilmu dan kebaikan, mengapa tidak untuk lakukannya.

“Akan tetapi, saya pun kenalah realistik juga. Tambahan lagi, anak-anak sedang aktif dan sebagai ibu kalau boleh saya mahu melihat mereka membesar di depan mata,” kata Diana yang tidak menyekat andai anak-anaknya turut tanam minat dalam seni suatu hari nanti.

“Anak-anak saya cepat serap apa yang berlaku di sekelilingnya. Tumbesaran mereka cukup cepat. Bayangkan pada usia 10 bulan, anak sudah pun belajar berjalan. Oleh itu, saya perlu berada sepanjang masa di sisi mereka. Bimbang andai apa yang berlaku di sekeliling mereka itu boleh mempengaruhi kepada sesuatu yang kurang baik. Alhamdulillah, setakat ini semuanya okay saja. Ada juga tawaran untuk menjadikan anak sebagai model produk dan sebagainya. Yang kecil-kecil itu adalah, tapi yang besar dan serius itu belum lagi.

“Bagaimanapun, saya dan suami tidak mahu sekat minat anak-anak andai mereka turut tunjuk minat untuk terjun dalam seni secara serius, asalkan tahu jaga batas, adat dan nama keluarga,” akhirinya Diana yang turut mengusahakan majlis usrah di Petaling Jaya lebih setahun lalu bersama suami dan rakannya.

CATEGORIES
TAGS
Share This