Dr Zakir Naik bukan pengganas

Dr Zakir Naik bukan pengganas

SHAH ALAM – Pendirian polis antarabangsa (Interpol) menolak untuk mengeluarkan notis merah (red corner) terhadap pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik membuktikan beliau tidak bersalah sepertimana didakwa sesetengah pihak.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan berkata, Pas menegaskan Dr Zakir bukanlah seorang pengganas tetapi pakar pembandingan agama yang telah mengislamkan ramai orang di seluruh dunia menggunakan kekuatan hujah beliau.

“Dakwaan dikeluarkan Agensi Penyiasatan Nasional (NIA) kemudian disahut oleh sesetengah ahli politik di Malaysia kononnya beliau terlibat dengan aktiviti keganasan ternyata tidak benar.

“Ini hanyalah alasan bagi mereka yang tidak mampu menangkis hujah dikemukakan beliau. Maka, bagi mereka cara ‘kekerasan’ adalah jalan terakhir untuk ‘menutup mulut’ pendakwah Islam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, tindakan NIA merujuk perkara tersebut kepada Interpol adalah bagi mengesahkan dakwaan mereka kononnya Dr Zakir terlibat dengan aktiviti keganasan. Namun, jelas dakwaan mereka sama sekali meleset.

Notis merah ialah permintaan sebuah negara untuk menjejak dan menangkap individu untuk diekstradisi, yang dikeluarkan Interpol berdasarkan permintaan negara atau tribunal antarabangsa.

Bagaimanapun, notis merah bukan waran tangkap antarabangsa. Sekiranya Interpol menguar-uarkan notis merah, individu yang dinamakan itu hanya disyaki terbabit jenayah, masih belum dihukum dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.

Pada Ahad lalu, Interpol membatalkan notis arahan tangkap terhadap Dr Zakir dan mengarahkan pejabatnya di seluruh dunia memadam segala data mengenai pendakwah antarabangsa itu, daripada fail mereka.

Laporan dari portal berita www.timesnownews.com berkata, langkah itu dibuat berikutan pihak berkuasa India didapati gagal mengekstradisi Dr Zakir.

“Interpol telah membatalkan notis arahan tangkap terhadap Dr Zakir dan mengarahkan pejabat di seluruh dunia memadam segala data mengenai Zakir termasuk alasan kecenderungan politik dan agama.

“Interpol menegaskan terdapat kekurangan bukti, kegagalan pihak berkuasa India menuruti proses perundangan, kecenderungan politik dan agama, selain kurang kepentingan antarabangsa yang membuatkan notis itu dikeluarkan,” kata jurucakap Dr Zakir.

CATEGORIES
TAGS
Share This