ECRL dijangka tingkat KDNK Pantai Timur

ECRL dijangka tingkat KDNK Pantai Timur

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi wilayah Pantai Timur sehingga 1.5 peratus daripada kadar sedia ada, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata pelaksanaan projek tersebut dijangka akan turut meneroka sumber pendapatan bukan operasi seperti pengiklanan, peruncitan dan sebagainya bagi menampung bayaran balik pinjaman yang dilakukan untuk menampung kos projek tersebut.

“ECRL dijangka akan memperoleh hasil atau pendapatan melalui kutipan tambang penumpang, bayaran daripada perkhidmatan kargo dan pendapatan bukan tambang.

“Kita menjangka bermula 2024 projek ini akan mula memperoleh hasil tersebut dengan unjuran pendapatan sebanyak RM2.9 bilion,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan itu.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ewon Ebin (BN-Ranau) yang ingin tahu berapakah unjuran pendapatan negara hasil daripada projek ECRL serta adakah pendapatan tersebut mencukupi untuk membayar balik pinjaman pembiayaan projek tersebut.

Mengulas lanjut, Othman berkata kerajaan turut mengunjurkan bermula tahun 2032 syarikat ini juga mampu beroperasi sendiri tanpa suntikan dana daripada kerajaan.

Katanya, pembayaran semula kos projek yang membabitkan 85 peratus pembiayaan melalui pinjaman mudah dari Exim Bank dan baki 15 peratus dibiayai melalui peruntukan program sukuk atau bon yang diuruskan oleh institusi kewangan tempatan itu akan mula dibuat bermula 2024 setelah selesai pelaksanaannya.- Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This