Fasa 2 MRT Di Lancar Pada 17 Julai – PM

PUTRAJAYA, 8 Jun : Datuk Seri Najib Razak memutuskan 17 Julai depan sebagai tarikh pelancaran operasi Fasa 2 Transit Aliran Massa (MRT) membabitkan laluan Semantan-Kajang. Perdana Menteri berkata, fasa kedua itu akan melengkapkan jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51 kilometer.

“Melalui fasa 1 (Sungai Buloh-Semantan) dan fasa 2 MRT ini, kerajaan menjangkakan perkhidmatan ini akan dapat memberi manfaat kepada lebih 500,000 penumpang yang akan menggunakannya setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN Ke-3), Dasar Perbandaran Negeri Ke-2 (DPN Ke-2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara) di sini hari ini.

Fasa 1 membabitkan 21 kilometer untuk laluan dari Sungai Buloh ke Semantan. Fasa 2 pula untuk laluan sepanjang 9.5 kilometer, bagi seksyen bawah tanah dari Semantan ke Maluri dan 20.5km laluan dari Maluri ke Kajang.

Selain itu, Najib berkata, tiga buah dokumen besar di bawah Rancangan Pemajuan Nasional (RPN) iaitu RFN Ke-3, DPN Ke-2 dan DPF Desa Negara akan mencorakkan pembangunan negara yang cekap dan mampan.

“Penyediaan Rancangan Pemajuan Nasional ini yang selaras dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) memastikan pembangunan berlaku dengan seimbang dan saksama di setiap ceruk tidak kira kampung, desa, mahupun bandar.

“Malah saya percaya dokumen perancangan yang sudah dirangka ini sememangnya berpaksikan kepada manifestasi dan mengambil kira pandangan, kemahuan dan aspirasi serta keperluan setiap lapisan masyarakat di negara ini,” katanya.

BH