Fazley abadikan momen indah bersama arwah bapa dalam video Ketiadaan

Menurut Fazley, jalan cerita video muzik ini dihasilkan dengan mempertontonkan semula segala kejayaan yang diraih selepas bapanya meninggal dunia lebih setahun lalu.

PENYANYI dan Chef Selebriti, Datuk Fazley Yaakob telah mengabadikan kenangan manis bersama Allahyarham bapanya, Datuk Yaakob Mohammad ke dalam video muzik single terbaharunya, Ketiadaan.

Fazley, 38, berkata ilham menghasilkan muzik video tersebut muncul selepas enam bulan Allahyarham bapanya dijemput Ilahi.

“Muzik video Ketiadaan terhasil dengan kerjasama semua yang ada di bawah bumbung SukaSucre Studio dan ia mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan selepas dicampur dengan kerja-kerja
penyuntingan, memperkemas serta penggambaran di Perancis dan Sydney, Australia.

“Ketiadaan digarap oleh Shahrul Izzat Abdullah manakala Pengarah Kreatif SukaSucre Bistro dan Creatives yang juga penyanyi, Imran Ajmain memikul tanggungjawab sebagai pengarah kreatif,” katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Fazley, jalan cerita video muzik ini dihasilkan dengan mempertontonkan semula segala kejayaan yang diraih selepas bapanya meninggal dunia lebih setahun lalu.

“Kehilangan memberi satu impak mendalam buat saya kerana video muzik ini dilagukan pelbagai kisah saya bersama arwah bapa.

“Tidak hanya itu, ia berkaitan cerita orang lain yang turut merasai kehilangan insan tersayang termasuk insiden MH370 dan sebagainya.

“Justeru, saya ingin menceritakan serba serbi keindahan yang berlaku kepada saya di sebalik kepahitan atas pemergian orang tercinta,” ujarnya.

Tambahnya dia memilih Perancis sebagai lokasi penggambaran muzik video Ketiadaan kerana secara kebetulan berada di negara tersebut untuk meraikan graduasi kelulusan kulinarinya yang ketiga dan dalam masa sama mengenang kembali kenangan bersama arwah.

“Sementara itu, Sydney pula saya pilih kerana mahu berkongsi momen sebagai anak bermula dari zaman belajar di New Zealand sehingga sering berulang-alik ke Australia demi bergelar seorang chef,” katanya.

Selain itu, Fazley tidak ketinggalan turut berkongsi detik manis di kediaman arwah bapanya.

“Saya sengaja memilih rumah arwah bapa kerana ia mengingatkan saya kepada kenangan zaman remaja sehingga bergelar suami. Sejujurnya, terlalu banyak momen indah berlaku di situ.

“Ada satu babak di mana saya memegang semua piala yang diperolehi. Ia sebagai bukti saya ingin menunjukkan kepada arwah bahawa beliau tidak sempat melihat piala-piala itu kecuali Masterchef.

“Ruang tengah rumah arwah menjadi cukup sentimental buat saya kerana ia menjadi tempat kami sembahyang berjemaah, membaca surah Yassin, mengadakan perbincangan sehingga merakam kenangan saya berkongsi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menamatkan pelajaran di universiti,” jelas penulis buku resepi, My Sucre Story ini.

Dalam pada itu, video muzik Ketiadaan yang ditayangkan secara eksklusif menerusi aplikasi penstriman muzik popular, Joox telah mencapai jumlah melebihi 33,000 tontonan.

Ketiadaan boleh dimuat turun menerusi iTunes (http://bit.ly/ketiadaanitunes) atau Spotify (http://bit.ly/ketiadaanspotify).

CATEGORIES
TAGS
Share This