FSPB Keluarkan Draf Pendedahan Pertama Mengenai Kod Etika

FSPB Keluarkan Draf Pendedahan Pertama Mengenai Kod Etika

ek_02.1
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) — Lembaga Profesional Perkhidmatan Kewangan (FSPB) telah mengeluarkan Draf Pendedahan pertamanya mengenai cadangan Kod Etika bagi Industri Perkhidmatan Kewangan yang menggariskan satu set lima prinsip asas yang luas termasuk profesionalisme dan integriti.

FSPB dalam satu kenyataan, berkata ia juga memasukkan keadilan, kerahsiaan dan objektiviti dan ia perlu diikuti oleh institusi dan individu dalam industri perkhidmatan kewangan (FSI).

Draf pendedahan tersebut yang merupakan langkah pertama FSPB dalam membangunan satu set prinsip etika, akan dibuka untuk ulasan sehingga 6 Julai 2015.

Pengerusinya, Tan Sri Azman Hashim, berkata prinsip-prinsip itu yang mencerminkan sifat dinamik FSI dan, apabila dimuktamadkan, akan menyokong inisiatif penetapan standard FSPB.

FSI adalah saling berkaitan, kompleks dan global serta mempunyai budaya profesionalisme yang kuat dipautkan pada satu set teras prinsip etika yang diamalkan oleh industri itu.

“Kami mengadakan rundingan awam ini untuk meningkatkan penerimaan dan kredibiliti kod yang dicadangkan. Kami berharap kod ini akan diterima bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya sambil menambah, bahawa draf itu bakal meneroka bidang baharu yang berkaitan dengan profesionalisme dan etika dalam industri.

Beliau turut menggalakkan semua pihak yang berkepentingan untuk mengemukakan ulasan mengenai kod itu, ia bertujuan untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan etika di seluruh FSI dan ini diharapkan dapat membantu memulihkan, mengekalkan dan meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap industri tersebut.

Ia melengkapkan sistem peraturan yang formal, serta menyumbang ke arah pengawasan awam ke atas FSI melalui kod berasaskan prinsip etika yang sukarela, dibangunkan oleh industri untuk industri.

FSPB merupakan inisiatif sukarela industri yang didedikasikan untuk pembangunan dan sokongan kepada standard profesional dan etika yang dibangunkan melalui konsensus industri dan keterlibatan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.fspb.com.

— BERNAMA

 

 

CATEGORIES
Share This