Gandingan lama dan baru

Gandingan lama dan baru

MALAYSIA bakal membariskan muka baru bagi Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia yang akan berlangsung di Marseille, Perancis hujung bulan ini.

Pengarah Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam berkata, empat pemain yang dipilih ini diyakini mampu memberikan nafas baru untuk skuad berpasukan lelaki negara.

Katanya, hanya Mohd Nafiizwan Adnan dan Ivan Yuen sahaja yang pernah menyertai kejohanan ini pada edisi 2009 dan 2013 lalu.

Manakala menurutnya, dua lagi pemain yang dipertaruhkan ialah terdiri daripada pemain muda negara yang sedang meningkat naik, Ng Eain Yow dan Mohd Syafiq Kamal.

“Kejohanan ini tidak akan mudah kerana banyak negara seperti New Zealand, Jerman, Hong Kong dan India adalah antara pasukan yang kuat selain daripada calon pilihan seperti Mesir, England dan Perancis.

“Tapi saya percaya tiada yang mustahil jika kami kekal positif.

“Apa pun saya mengharapkan kejohanan ini dapat menjadi pendedahan berguna buat skuad berpasukan lelaki kita untuk menghadapi Sukan Asia Jakarta tahun depan,” katanya.

Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia kembali tahun ini, selepas berehat selama empat tahun ekoran kontroversi berkaitan keselamatan pada kejohanan yang sepatutnya berlangsung di Kaherah, Mesir pada 2015.

Tahun ini, Malaysia dijangka diletakkan sebagai pilihan ke-10, sementara tiga pasukan pilihan utama kejohanan masih milik Mesir diikuti England dan Perancis.

CATEGORIES
TAGS
Share This