Hanya atlet layak secara merit akan beraksi ke Sukan Komanwel 2018

Sukan Komanwel 2018 akan diadakan di Gold Coast, Australia

KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan bahawa hanya atlet atau pasukan yang layak secara merit dengan melepasi had dan masa kelayakan akan dihantar ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, tahun depan.

Malah, Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata tiada laluan automatik untuk atlet yang gagal melepasi had dan masa kelayakan iaitu catatan masa atau jarak tempat keenam pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland,.

Beliau berkata hanya atlet individu atau pasukan yang menepati kriteria kelayakan akan dipertimbangkan memandangkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) telah menetapkan kuota penyertaan untuk Malaysia.

“Kami perlu melihat pemilihan secara teliti dan yang terbaik sahaja…justeru kami akan mendapatkan pandangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), persatuan kebangsaan serta pencapaian di Sukan SEA 2017,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di sini semalam.

Beliau berkata mesyuarat pertama jawatankuasa pemilihan untuk Sukan Komanwel 2018 akan diadakan pada 3 Okt ini.

Sukan Komanwel 2018 akan berlangsung dari 4 hingga 15 April depan. Tunku Imran berkata Larian Baton Sukan Komanwel akan diadakan di Malaysia dari 16 hingga 21 Okt ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata laporan penuh keputusan 836 sampel doping yang diambil daripada pemenang pingat pada Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan lepas, akan disiapkan pada minggu depan.

Beliau berkata daripada 345 hasil keputusan yang diterima setakat ini daripada makmal di New Delhi, hanya satu kes didapati positif.

“Kami akan mengumumkan keputusan doping selepas memperoleh kesemua hasil ujian tersebut,” katanya.