Kementerian Salurkan Sumber Untuk Lahirkan Rakyat Yang Bijak Digital

Kementerian Salurkan Sumber Untuk Lahirkan Rakyat Yang Bijak Digital

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) : Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mencari jalan serta cara untuk memastikan sumber-sumber disalur ke arah melahirkan rakyat yang bijak digital yang boleh menonjol dalam dunia sukan elektronik (e-sukan) dan memberi sumbangan kepada pertumbuhan negara.

Timbalan Menteri, Datuk Jailani Johari berkata, ini termasuk pelbagai inisiatif yang dilaksana melalui pelbagai agensi, daripada menangani keperluan infrastruktur dan kesinambungan kepada meningkatkan kepantasan dan harga, memperjuang pembangunan permainan sehingga menawarkan platform komersialisasi untuk pemaju.

“Selain itu, terdapat sokongan di semua sektor untuk menubuhkan akademi e-sukan di negara ini.

“Pada Februari, Universiti Asia Pasifik melancarkan akademinya dan baru-baru ini Akademi e-Sukan di Iskandar dibuka dengan rasmi untuk pendaftaran,”katanya kepada pemberita pada majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Permainan Mudah Alih Terbesar di Malaysia anjuran Celcom, di Hotel Pullman, Bangsar, semalam.

Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Dato Jailani Johari (duduk) ketika mencuba permainan aplikasi mudah alih Celcom.

Jailani berkata, ini akan membolehkan kementerian bukan sahaja mengenal pasti bakat tetapi mendidik, menggilap dan melatih mereka untuk melahirkan generasi pemain dengan laluan kerjaya yang mantap.

“Program yang ditawarkan itu disokong dan diiktiraf oleh jurulatih dan pemain berpengalaman yang mengambil pendekatan amali dalam berkongsi pandangan, petua dan nasihat kepada pelajar,”katanya.

Untuk memastikan inisiatif itu berjaya, katanya, ia memerlukan gabungan usaha semua pihak berkepentingan bagi mewujudkan ekosistem mantap yang akan menyokong e-sukan.

“Walaupun pencapaian pertandingan ini layak mendapat pujian, ia amat penting untuk kita melihat yang ia berdasarkan kepada permainan mudah alih yang dibangunkan di peringkat tempatan,”katanya dengan menambah kejayaan pertandingan itu menunjukkan bagaimana pihak berkepentingan boleh bekerjasama bagi menjayakan agenda negara.

Jailani berkata, beliau ingin melihat lebih banyak sokongan daripada industri berkenaan dalam usaha mengembangkan eknomi digital negara dan menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi dalam membangunkan masyarakat berasaskan pengetahuan.

“Selain itu, kejayaan pertandingan ini juga membuktikan kerjasama seperti ini juga boleh menjadi model perniagaan yang menguntungkan dan boleh dicontohi syarikat lain serta mewujudkan aliran pendapatan baharu,”katanya.

BERNAMA

 

CATEGORIES
TAGS
Share This