Kes ditampar cikgu: Timbalan Menteri Pendidikan mahu bertemu keluarga murid

Kes ditampar cikgu: Timbalan Menteri Pendidikan mahu bertemu keluarga murid

NILAI: Kementerian Pendidikan akan mengadakan pertemuan dengan keluarga seorang murid berusia 11 tahun yang ditampar oleh guru Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, dekat sini pada April lalu.

Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon berkata, pertemuan itu bagi mencari jalan penyelesaian ke atas perselisihan faham di antara keluarga pelajar dan guru tersebut.

“Kita perlu mencari satu cara pendamaian untuk menyelesaikan isu ini.

“Mengheret (kes) ke mahkamah hanya akan memberi kesan kepada profesion perguruan,” katanya kepada media selepas Program Penyerahan Peralatan Sekolah daripada sekumpulan usahawan muda kepada murid-murid yang miskin, di sini pada Khamis.

Chong berharap kedua-dua pihak dapat bermuafakat bagi memastikan sekolah menjadi tempat yang aman untuk proses pembelajaran.

Mengakui tindakan guru tersebut yang menampar murid adalah tidak mengikut pekeliling yang dikeluarkan kementerian, Chong berkata ia bukanlah dengan niat untuk mencederakan murid tersebut.

Beliau turut mengingatkan para guru untuk mematuhi pekeliling ketika mengenakan tindakan disiplin terhadap pelajar.

“Merotan adalah tindakan paling keras yang boleh diambil oleh guru ketika menghukum pelajar lelaki manakala pelajar perempuan pula hanya diberi teguran.

“Selain itu, tindakan lain seperti kelas tahanan, larangan menjalani aktiviti digemari pelajar terlibat seperti bersukan, boleh dilaksanakan,” katanya.

Chong berkata beliau sempat bertemu Cikgu Azizan Manap semalam dan memberikan sokongan moral terhadapnya.

“Saya akan berusaha untuk membantu mencari penyelesaian dan pendamaian yang terbaik bersama pihak yang terlibat,” katanya.

Kelmarin, Mahkamah Majistret Seremban melepaskan tanpa membebaskan Azizan, 44, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan bersabit pertuduhan mencederakan muridnya pada April lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad memberitahu pihaknya menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik semula pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu.

Sementara itu, pada majlis tersebut seramai 41 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di sekitar Nilai, menerima bantuan peralatan sekolah sumbangan daripada sekumpulan usahawan muda dari bandar ini. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This