Kes faraq Joy dan Hafiz 19 November

Joy Refva hadir memasuki perkarangan mahkamah.

SHAH ALAM – Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menangguhkan permohonan faraq (perpisahan sementara) yang difailkan usahawan kosmetik, Joy Refva terhadap penyanyi, Hafiz Hamidun.

Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria membuat keputusan itu selepas kedua- dua pihak bersetuju untuk menunggu keputusan kes pengesahan nikah yang difailkan oleh suami Joy terdahulu, Datuk Rayos Abdul Rahim di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

“Mahkamah menetapkan 19 November depan untuk sebutan semula,” katanya.

Terdahulu, peguam syarie, Aznor Suhaida Dollah yang mewakili Joy mengesahkan anak guamnya mempunyai kes lain yang berkepentingan dengan permohonan faraq.

“Kes pengesahan nikah itu akan dibicarakan pada Selasa depan),” katanya.

Pada prosiding itu, Hafiz diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais.

Pernikahan Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Amin,30 dengan Hafiz,32 menarik perhatian umum apabila timbul dakwaan wanita itu masih isteri Rayos.

Hafiz dan Joy Revfa diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz.

Joy berkahwin dengan Rayos pada 10 Januari 2013 di Songkhla, Thailand. Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang cahaya mata.

CATEGORIES
TAGS
Share This