Klopp bimbang tiada pasukan mampu kejar City

Klopp bimbang tiada pasukan mampu kejar City

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, bimbang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) “telah diputuskan” jika Manchester City mengekalkan dominasi mereka dalam saingan itu.

City bangkit untuk mencipta kemenangan 2-1 ke atas Huddersfield Town pada Ahad dan melanjutkan rentetan tanpa kekalahan sejak permulaan musim ini, termasuk lima kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL).

Skuad kendalian Pep Guardiola mendahului saingan EPL dengan kelebihan lapan mata dan Manchester United menghuni tangga kedua, dengan Liverpool ketinggalan enam di tangga keenam.

Klopp menegaskan beliau tidak memberikan tumpuan untuk mengejar City tetapi mahu memastikan mereka pada tahap kedudukan yang baik jika pendahulu liga tercicir mata.

“Saya menyaksikan perlawanan bertemu Huddersfield. Ia merupakan kemenangan yang berhak buat City. Sebelum itu, mereka melakar kemenangan 1-0 ke atas Feyenoord,” kata Klopp.

“Jika mereka terus menang, tiada pasukan lain yang berpeluang untuk mengejar mereka.

“Tetapi ia bukan masalah buat saya ketika ini, kami mahu memastikan tiga mata dalam perlawanan seterusnya dapati diraih dan memastikan kami dalam kedudukan yang baik.

Klopp menjelaskan Sadio Mane dan Roberto Firmino yang tampil sebagai pemain gantian ketika seri 1-1 dengan Chelsea akan kembali dalam kesebelasan utama bertemu Stoke City, esok.

“Saingan sudah mula bertambah sukar buat semua pasukan yang perlu menghadapi banyak perlawanan. Jadi saya terpaksa mengambil keputusan untuk membawa masuk Mane dan Firmino sebagai pemain gantian ketika bertemu Chelsea.

“Bagi perlawanan seterusnya, saya berharap tiga mata mampu diraih.”

CATEGORIES
TAGS
Share This