Komander Abu Sayyaf individu ditembak di Lahad Datu pagi tadi

Komander Abu Sayyaf individu ditembak di Lahad Datu pagi tadi

LAHAD DATU: Seorang lelaki yang ditembak pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) awal pagi ini merupakan salah seorang ‘komander’ kepada Kumpulan Militan Abu Sayyaf.

Suspek, Abu Paliyak atau dikenali sebagai Komander Paliyak atau Yusuf, 31 juga berperanan sebagai tali barut kepada kumpulan penculik untuk tebusan (KFR) yang diketuai oleh Kumpulan Remy.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, Kumpulan Remy itu aktif melakukan jenayah rentas sempadan di selatan Filipina dan pantai timur Sabah.

“Siasatan lanjut mendapati suspek terlibat dalam beberapa kes rompakan dan penculikan di laut iaitu kawasan perairan Kunak dan Lahad Datu sekitar tahun 2014,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sini pada Isnin.

Ramli menambah, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, sebuah bot dinaiki Abu Paliyak dikesan di kawasan perairan Pulau Kantong Kalungan, Lahad Datu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika bot pasukan keselamatan cuba menghampiri bot tersebut dan memperkenalkan diri sebagai polis, tiba-tiba bot itu memecut laju serta Abu Paliyak melepaskan tembakan ke arah bot pasukan keselamatan.

Menurut beliau, ekoran tindakan Abu Paliyak itu, polis telah melepaskan tembakan balas ke arah bot suspek sebelum berjaya menghampiri dan mendapati seorang lelaki telah terbaring di dalam bot terbabit dengan kesan tembakan.

“Hasil siasatan lanjut pada bot suspek itu menjumpai selaras senapang patah yang telah diubah suai bersama satu butir kelongsong peluru di dalam kebuk senjata tersebut .

“Pemeriksaan pada badan suspek mendapati terdapat kira-kira sembilan parut lama dipercayai kesan tembakan dan terkena bahan letupan di bahagian peha, perut serta lengan kanan selain jari tengah sebelah kiri suspek putus dipercayai kesan daripada kecederaan lama,” katanya.

Tambah Ramli, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan saki-baki tali barut dan ahli kumpulan mereka yang masih bebas.

CATEGORIES
TAGS
Share This