Krisis dalaman Pakatan kerana berebut jawatan PM – Syed Ali

Krisis dalaman Pakatan kerana berebut jawatan PM – Syed Ali

KUALA LUMPUR: Pergeseran Pakatan Harapan (PH) dalam isu siapa yang layak dilantik Perdana Menteri membuktikan mereka tidak fokus kepada perjuangan membangunkan negara dan membela nasib rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pertikaian siapa perdana menteri di antara Tun Dr Mahahir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hanya menyerlahkan krisis sesama mereka.

“Siapa jadi perdana menteri masih menjadi debat jika Pakatan Harapan memenangi PRU14.

“Pakatan Harapan sememangnya tidak memiliki pemimpin berkarisma dan berkelayakan untuk memegang jawatan perdana menteri.

“Kalau tidak, masakan mereka terpaksa menamakan Anwar yang sedang meringkuk di dalam penjara dan bekas perdana menteri yang sudah memerintah 22 tahun lamanya,” tegasnya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Sebelum ini, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, penentuan calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan menjelang PRU14 bakal menjadi cabaran terbesar buat gabungan pembangkang tersebut.

Jelasnya, mereka harus menetapkan sama ada mengekalkan konsensus sedia ada iaitu Anwar atau mempertimbangkan Dr Mahathir.

Justeru itu kata Syed Ali, Pakatan Harapan kini dilanda krisis dalaman yang cuba disorok dari diketahui umum.

“Antara Dr Mahathir dan Anwar, kedua-duanya mempunyai pengikut dan penyokong tersendiri.

“Satu puak dalam Pakatan Harapan menentang Dr Mahathir dan satu puak mahukan Anwar dan satu kumpulan lagi berpihak kepada DAP,” jelasnya.

Syed Ali juga tidak menolak kemungkinan satu puak lagi dari kalangan muda menolak pemimpin ‘kitar semula’ menguasai Pakatan Harapan.

Situasi itu katanya membuktikan Pakatan Harapan sekadar pakatan rapuh yang hanya gilakan kuasa walaupun mereka terpaksa menyusahkan kehidupan rakyat.

“Berbeza dengan UMNO, teras perjuangan kita amat jelas berpaksikan kepada agenda rakyat dan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan yang terbaik walaupun ada kalanya tindakan itu tidak popular,” tegasnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This