KSP edar 30,000 kad prabayar

KSP edar 30,000 kad prabayar

KELAB Sahabat Persaudaraan (KSP) menyerahkan 30,000 kad prabayar di bawah Program Kad Negaraku MPay Mastercard kepada ahli NGO bermula awal Januari ini.

Pengasas KSP, Dr Mohd Zamri Noordin berkata, penyerahan itu fasa pertama daripada jumlah sasaran kad iaitu 200,000 unit yang disasarkan untuk diberi kepada pemegang selewatnya Mac tahun depan.

Menurutnya, pengenalan kad itu sebahagian daripada Program Sahabat Negaraku yang diperkenalkan KSP dengan kerjasama secara eksklusif Managepay Systems Berhad (Kumpulan MPay).

“Lebih 25 NGO dengan keahlian 213,000 tampil bersama untuk realisasikan program.

“Penyerahan itu juga tertakluk kepada ahli NGO yang mendaftar di sekitar Selangor dan Lembah Klang serta bersetuju untuk sertai program yang ditawarkan,” katanya.

Menurutnya, kad itu bukan sahaja boleh diguna NGO sahaja, tetapi ia terbuka kepada umum.

“Namun untuk permulaan, kami sasar kepada ahli NGO terlebih dahulu untuk lihat keberkesanannya.

“Justeru, kerjasama dan sokongan daripada ahli NGO diperlukan untuk kebaikan mereka dalam jimat berbelanja secara digital,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MPay, Datuk Chew Chee Seng berkata, kad yang disediakan itu dianggap sara hidup digital yang memberikan peluang kepada semua pengguna kad untuk menikmati produk dan perkhidmatan di sediakan dengan harga lebih jimat.

“Ia bukan sahaja untuk beli produk dengan murah, tetapi masyarakat boleh berbelanja dalam kehidupan sosial seperti pembelian secara atas talian, menonton wayang, berhibur dengan keluarga dan pindah wang,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This