Lelaki bergelar Datuk direman enam hari

Lelaki bergelar Datuk direman enam hari

PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah reman enam hari terhadap seorang pengarah eksekutif kanan syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd bergelar Datuk bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berumur 59 tahun itu bermula hari ini sehingga 15 Jan.

Terdahulu, lelaki itu tiba di mahkamah pada kira-kira 9.50 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Menurut sumber SPRM, lelaki itu ditahan pada kira-kira 8.45 malam semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan berhubung kes itu.

Penahanan lelaki itu adalah susulan serbuan SPRM semalam di beberapa pejabat kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang dan beberapa syarikat berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut tersebut.

SPRM dilaporkan menyerbu pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di Komtar.

Selain itu, Syarikat Ewein-Zenith, 555 Capital Diamond Valley Industrial Park dan Consortium Zenith Construction turut diserbu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama semalam berkata serbuan itu susulan aduan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan.

Pada 5 Jan lepas, Huan membuat laporan dan menyerahkan bukti baharu berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion itu kepada SPRM di Putrajaya bagi menyiasat sama ada wujud unsur salah laku atau rasuah dalam pembidaan projek itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This