#MalaysiaMemilih: BN dan PH bersaing angkat agenda Melayu

#MalaysiaMemilih: BN dan PH bersaing angkat agenda Melayu

KUALA LUMPUR: Isu menjadikan kepentingan Melayu sebagai agenda utama parti politik turut mendapat perhatian pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Mereka sependapat bahawa kepentingan Melayu perlu menjadi agenda utama bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagi UMNO, agenda Melayu semestinya menjadi kepentingan utama perjuangan parti tersebut, namun mereka tidak melupakan tugas untuk membela nasib kaum-kaum lain di negara ini.

“Hakikat sebenarnya UMNO adalah parti yang sejak dulu berjuang untuk kepentingan orang Melayu dan Bumiputera. Namun sangat jelas kita juga adalah parti yang membela dan menjaga kaum-kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Maknanya, kita adalah parti yang bukan hanya berjuang untuk kepentingan orang Melayu tetapi untuk kaum lain juga dan ini telah terbukti sejak sekian lama dan dipersetujui oleh semua,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah kepada Astro AWANI.

Pakatan Harapan juga menyedari bahawa untuk memperolehi kemenangan pada PRU14, mereka perlu mengangkat agenda Melayu.

“Untuk Pakatan Harapan memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang, untuk membentuk kerajaan, amat penting untuk agenda Melayu ini diangkat kerana saya percaya kerusi-kerusi yang majoriti Melayu itu sangat penting sebab akan berlaku persaingan tiga penjuru ini di kerusi-kerusi majoriti Melayu,” kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.

Agenda Melayu terbukti menjadi kepentingan BN dan PH untuk memastikan kemenangan pada PRU14 nanti.

CATEGORIES
TAGS
Share This