Mangsa banjir terharu PM luang masa melawat

Mangsa banjir terharu PM luang masa melawat

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan ibu bapa yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mengawasi anak-anak mereka.

Pesanan itu disampaikan secara peribadi kepada beberapa ibu bapa yang ditemuinya semasa melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temai di sini, pada Ahad.

Mangsa banjir Ramzi Mohd Amin, 49, berkata beliau tidak menyangka perdana menteri akan berhenti bertanya khabar dirinya kerana beliau tidak menunggu kedatangan pemimpin negara itu sebab sedang menidurkan anaknya dalam buaian.

“Tiba-tiba saya nampak ramai orang datang ke arah saya…rupanya PM (perdana menteri) menuju ke arah saya. Beliau datang dan tanya berapa lama sudah saya berada di sini?

“Kemudian beliau lihat anak dan pesan jangan bagi anak-anak main dekat air. Jaga keselamatan diri dan anak. Beliau juga minta saya bersabar dengan ujian ini,” katanya semasa ditemui Bernama di sini, hari ini.

Ramzi yang bekerja sendiri memaklumkan beliau berpindah ke PPS itu bersama enam anggota keluarganya sejak rumahnya di Temai Hulu di sini, dinaiki air sejak Khamis lalu.

Terdahulu Datuk Seri Najib tiba di SK Temai pada 11.45 pagi dengan menaiki bot kerana laluan masuk ke PPS yang menempatkan 96 mangsa banjir daripada 21 keluarga itu dinaiki air setinggi dua meter.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Seorang lagi mangsa banjir, Olin Muhammad, 70, berkata Datuk Seri Najib turut bertanya khabar isterinya Noriah Kassim, 65, dan kelihatan gembira apabila melihat wanita itu menggunakan kerusi roda sumbangan beliau.

“Beliau juga tanya jika ada doktor menjenguk keadaan isteri dan saya beritahu ada…ada doktor yang akan bertanya keadaan isteri beberapa kali sejak kami berkampung di sini,” katanya.

Bagi Jamaluddin Imran, 31, beliau seronok apabila dapat melihat sendiri Anggota Parlimen Pekan itu di depan mata kerana sebelum ini, beliau jarang dapat bersua muka memandangkan kehadiran orang yang ramai di pusat itu.

“Rezeki saya pula berdiri di tepi tangga yang dilalui PM. Tak sangka beliau lalu betul-betul bersebelahan saya sebab selalunya tengok dari jauh sahaja,” katanya.

Sementara Fatimah Mat Ariff, 38, yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Sri Damai, Kuantan bersama empat orang anaknya yang berumur 18 tahun hingga tiga bulan, turut melahirkan penghargaan kepada perdana menteri kerana sudi bertanya khabar mangsa banjir walaupun sibuk dengan tugas sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Walaupun sibuk, tetapi beliau masih sudi berjumpa kami…rasa gembira sebab biasanya tengok dalam tv, sekarang bolehlah tengok depan-depan,” katanya.

Katanya kehadiran pemimpin lain juga seperti Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Shahidan menunjukkan keprihatinan kerajaan tentang kebajikan mangsa banjir.

Bagi seorang warga emas yang turut ditempatkan di pusat pemindahan itu Ali Awang, 71, pula tidak menyangka mimpi bertemu dan bersalam dengan perdana menteri lima bulan lalu akhirnya menjadi kenyataan.

“Tak sangka dalam ramai-ramai mangsa di pusat pemindahan ini, perdana menteri memilih untuk berbual dengan saya. Ia ibarat mimpi jadi kenyataan sebab saya pernah mimpi perkara yang sama lima bulan lepas,” katanya yang menghidap penyakit saraf menyebabkan dia lumpuh dan terpaksa duduk di atas kerusi roda.

Menurutnya sepanjang berbual, perdana menteri banyak menasihatinya agar menjaga kesihatan selain turut menyatakan kesediaan memberikan sebuah kerusi roda yang baharu bagi menggantikan yang lama.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This