Mayat pekerja warga Bangladesh ditemui

Mayat pekerja warga Bangladesh ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat pekerja warga Bangladesh yang tertimbus selepas lantai bangunan Pencawang Masuk Utama (PMU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran MRT Cochrane yang sedang dalam pembinaan runtuh, berjaya dibawa keluar sekitar jam 5.30 pagi tadi.

Penemuan itu disahkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Armdan Mahad ketika dihubungi Astro AWANI.

Armdan memaklumkan, mayat mangsa yang berusia 20-an itu dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk proses bedah siasat.

Dalam kejadian 5.30 petang Selasa, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat tiga ke tingkat satu dan kemudian dihempap runtuhan lantai.

Kejadian berlaku ketika kontraktor sedang melakukan kerja-kerja pembinaan bangunan pencawang berkenaan.

TNB dalam satu kenyataan mengesahkan sebahagian kecil lantai bangunan PMU MRT Cochrane miliknya runtuh pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, kejadian dipercayai berlaku apabila perancah tapak lantai di tingkat tiga runtuh ketika kerja menuang konkrit dilakukan.

“Tahap kerosakan akibat runtuhan dan punca runtuhan masih dalam siasatan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjelaskan bahawa insiden itu tiada kaitan dengan Projek MRT Lembah Klang.

Pengarah Perhubungan Awam dan Perhubungan Stakeholder Datuk Najmuddin Abdullah dalam kenyataan berkata pembinaan landasan MRT Sungai Buloh-Kajang, di mana Stesen MRT Cochrane merupakan satu daripada stesennya, telah disiapkan dan dibuka kepada orang ramai sejak Julai tahun lepas.

CATEGORIES
TAGS
Share This