Mungkin ada lagi akan keluar Pas?

Mungkin ada lagi akan keluar Pas?

KOTA BHARU – Keputusan Datuk Mahfuz Omar keluar Pas dilihat sebagai satu indikator penting yang memungkinkan lebih ramai pemimpin Pas yang lain akan membuat keputusan yang sama selepas ini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Suhaimee Sahar berkata, apa yang dilakukan Mahfuz itu juga sebenarnya memberi isyarat awal kepada mereka yang tidak sejiwa lagi dengan perjuangan parti itu, namun masih berteka-teki untuk terus membuat keputusan.

“Mungkin bagi Pas, ia satu kelegaan bagi mereka yang sedang bersiap sedia menghadapi PRU14 dengan kekuatan tersendiri tanpa di dokong oleh mana-mana individu yang dilihat mampu memberi ancaman dan melemahkan kekuatan parti.

“Igauan dihadapi mereka setelah wujudnya beberapa perpecahan merumitkan lagi keadaan dalam menentukan hala tuju sebenar perjuangan dan ideologi politik yang mereka bawa,” katanya mengulas keputusan Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang keluar Pas dan akan berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas.

Menurutnya, jika berlaku pertembungan di kawasan itu dan Mahfuz membuat keputusan untuk tetap mengekalkan keberadaan beliau dalam politik, maka strategi digunakan pasti berbeza.

Malah katanya, sekiranya Pas mempunyai calon yang berkaliber dan berwibawa, strategi akan berubah dalam memastikan dominasi politik mereka dapat dipertahankan walaupun ruang baru terbuka untuk mana-mana parti mahupun calon untuk memenangi kawasan tersebut.

Bagi pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar, tindakan Mahfuz keluar Pas dilihat merugikan parti itu kerana kehilangan pemimpin pengalaman dalam berdepan PRU akan datang.

Katanya, Pas tidak sedar bahawa Mahfuz adalah aset bernilai dalam parti dan bukan mudah Pas menggantikan pemimpin yang tahan lasak seperti itu.

“Ini satu kehilangan besar bagi Pas walaupun Pas tidak mengakuinya. Pemimpin itu mempunyai pengalaman, pengikutnya sendiri. Bertuahlah parti mana yang akan beliau pergi nanti,” katanya.

Menurutnya, tindakan Mahfuz itu juga membuktikan pergolakan dalaman Pas yang kini sudah tidak boleh dirahsiakan lagi terutamanya melibatkan soal keyakinan dan wala’ kepada parti.

Beliau berkata, Mahfuz dilihat sudah lama kecewa dengan Pas, namun masih beri peluang kepada diri untuk sama-sama memperbaiki namun mungkin sendu pemimpin itu tidak didengari.

“Sudah tentu tindakan itu memberi kesan kepada Pas Kedah, apa lagi sebelum ini beberapa wakil rakyat dan tokoh Pas negeri itu meninggalkan Pas. Bukan mudah untuk berdepan situasi ini terutamanya PRU tinggal berapa lama sahaja lagi.

“Ini satu cabaran hebat bagi Pas, namun sikap matang dan berdiam diri akan menutup ketakutan Pas dalam berdepan realiti kehilangan pucuk-pucuk lama seperti Mahfuz,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This