Pemain yakin lakar keputusan baik

Pemain yakin lakar keputusan baik

PENGENDALI skuad bawah 23 (B23) negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan pemainnya tidak takut dengan ancaman Iraq menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam saingan Kumpulan C pusingan akhir Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B23) di Changshu, China petang ini.

Biarpun menyedari Iraq sebuah pasukan kuat, namun pengendali kelahiran Melaka itu menyifatkan pemainnya sudah cukup bersedia melakar kejutan dalam perlawanan tersebut.

“Seperti yang saya katakan, kami tidak takut sesiapa dan mampu menukarkan keputusan mustahil kepada sesuatu yang positif.

“Malah, kami juga melakukan persediaan cukup baik dan pemain tahu apa yang perlu dilakukan apabila turun bermain dalam kejohanan berprestij seumpama ini. Bahkan kami telah buktikan pada aksi kelayakan Piala AFC sebelum ini , “katanya.

Pada pusingan kelayakan, skuad negara muncul juara Kumpulan H dengan enam mata diikuti Thailand lima mata, Indonesia (empat) dan satu mata oleh Mongolia selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan sekali gus menyaksikan skuad Kim Swee layak secara automatik ke pusingan akhir.

Mengulas lanjut, kata Kim Swee, secara taktikal pemain negara mampu menyaingi keupayaan pemain Iraq dengan syarat sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang 90 minit perlawanan.

Jelasnya, tahap keyakinan pemainnya juga cukup tinggi untuk membuktikan pemain negara juga mampu bersaing dengan pasukan negara Arab yang sememangnya terkenal dengan fizikal dan kepantasan dalam permainan.

“Tiada keraguan bahawa Iraq adalah sebuah pasukan pilihan tetapi dalam 90 minit apa jua boleh berlaku. Saya mahu pemain bangga dengan persembahan esok (hari ini) biar apa jua keputusan dicapai.

“Sebagai jurulatih, saya akan jalankan tanggungjawab dan sebagai pemain mereka perlu bijak mencari peluang dan merampas bola dari pihak lawan serta tidak melakukan kekasaran yang mengundang kad yang sia-sia,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This