Pengeluar kenderaan perlu tukar model perniagaan jika tidak mahu kalah – Kajian

Pengeluar kenderaan perlu tukar model perniagaan jika tidak mahu kalah – Kajian

Kuala Lumpur: Trend gangguan teknologi dijangka menjejaskan bekalan sektor automotif bagi tahun 2018 meskipun sektor itu merekodkan pendapatan tinggi pada tahun ini, menurut Kajian Bekalan Automotif Global 2018 oleh Roland Berger and Lazard.

Menurut firma itu empat trend mega gangguan teknologi itu termasuk perkongsian mobiliti, kenderaan autonomi, pendigitalan, dan kenderaan elektrik, kata firma itu dalam satu kenyataan.

“Kajian mendapati Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pembekal perlu melakukan transformasi model perniagaan sedia ada bagi mengadaptasi perubahan dalam sumber pendapatan di bawah trend mega ini.

“Pembekal perlu menyediakan perubahan besar termasuk perubahan teknologi lebih pantas, perisian sebagai pembeza utama, dan menjadikan perkakasan sebagai komoditi,” menurut kajan itu.

“Perubahan teknologi memerlukan pembekal melabur secara besar dalam teknologi lama dan baharu secara serentak meskipun pulangan pelaburan dalam teknologi baru tidak menentu,” kata Martin Tonko, Presiden dan Pengarah Roland Berger Indonesia.

Kajian itu melibatkan 650 pembekal seluruh dunia untuk menilai keadaan semasa industri, trend serta cabaran.

Bagi 2017, industri pembekal dunia dijangka menyaksikan peningkatan pendapatan sekitar 3 peratus berbanding 2016, dan mengekalkan kadar keuntungan.

Menurut kenyataan itu model perniagaan mobiliti baharu seperti perkhidmatan perkongsian pengangkutan dijangka menjejaskan kadar pemilikan kenderaan, selain kenderaan autonomi yang semakin diterima dengan perubahan perundangan dan teknologi.

Dari segi pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) menawarkan kemungkinan tanpa had manakala teknologi yang membolehkan sambungan semakin mendapat tempat dalam penggunaan arus perdana.

Kenyataan itu turut menilai kenderaan elektrik yang semakin mendapat momentum kepercayaan dari pembuat dasar dan pembekal komponen tulen (OEM).

Berdasarkan perkembangan trend mega itu, gangguan teknologi dalam industri automotif adalah sesuatu yang tidak dapat dielak namun proses pertukaran dan adaptasi dijangka mewujudkan situasi tidak menentu dan menjejaskan jualan serta pengeluaran.

CATEGORIES
TAGS
Share This