Pengurusan FAM caca marba

Pengurusan FAM caca marba

BEKAS pemain negara, Khalid Ali melabelkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai caca marba selepas tindakan badan induk itu gagal menyelesaikan isu pasukan yang layak bermain di Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), musim depan.

Menurutnya, kegagalan itu hanya memalukan negara dan mengkritik sikap angkuh FAM yang tidak ‘mampu’ membantu Kedah untuk beraksi di kejohanan itu.

“Perkara (isu AFC) ini kecil je. Sepatutnya FAM boleh bertolak ansur selain duduk berbincang dengan Kedah cara untuk memastikan mereka layak.

“Takkan selama 30 tahun, isi dan uruskan borang pun masih tak mampu buat. Sepatutnya FAM harus menjadi rujukan kepada Kedah dan ajar mereka satu persatu langkah yang perlu mereka buat. Lesen tu atas FAM untuk mereka luluskan atau tidak dan ini hanya perkara kecil yang mampu diselesaikan FAM.

“Mungkin ini hanya drama mereka untuk memusnahkan kelab tertentu,” katanya.

Satu lagi slot ke Piala AFC bakal terbatal selepas pengganti Kedah iaitu Pahang menolak tawaran tersebut sekali gus hanya Johor Darul Ta’zim yang akan beraksi di kejohanan itu musim depan.

Tonggak Sukan Olimpik Moscow 1980 itu turut menyifatkan kelemahan individu tertentu dalam FAM menguruskan isu AFC ini menyebabkan kerugian kepada bola sepak negara.

Justeru kata Khalid, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim perlu menilai kembali exco dalam pengurusan badan induk itu dan membuang mereka yang tidak mampu bekerja dengan baik.

“Takkan semua perkara TMJ yang kena buat. Kalau exco dalam FAM tu dah tepu dan tak mampu buat kerja dengan baik, elok lah mereka berhenti.

“Saya pun sebenarnya dah malas nak cakap soal pengurusan sebab dah 30 tahun saya sentuh pasal ini. Sepatutnya apabila dah masuk era baharu, isu pengurusan ini dah tak berlaku.

“Dari sudut hati kecil, saya cukup kecewa. Sepatutnya sekarang adalah usaha untuk menambah baik bola sepak negara,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This