Peranan wanita UMNO penting dalam menggerakkan parti – Ahmad Bashah

Peranan wanita UMNO penting dalam menggerakkan parti – Ahmad Bashah

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yakin Pergerakan Wanita UMNO dapat terus memainkan peranan penting dalam memastikan negeri ini terus menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berkata Wanita UMNO merupakan tulang belakang dalam menentukan kekuatan dan menggerakkan parti selama ini bersama dua lagi sayap iaitu Pemuda dan Puteri.

“Di Kedah, Wanita UMNO merupakan jentera paling hadapan untuk menentukan kekuatan UMNO dalam memastikan UMNO dapat terus mentadbir di negeri ini dan ia perlu diteruskan bagi memastikan kita dapat terus diberi kepercayaan untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Jangan gadai kuasa yang ada kepada pihak tertentu hingga boleh menyebabkan rakyat Kedah rugi, jadi Wanita, Pemuda dan Puteri perlu berganding bahu untuk memperkasakan Jalinan Rakyat (JR) yang merupakan senjata UMNO yang paling kuat dalam memperkasa parti,” katanya semasa berucap pada majlis Malam Anugerah Ibu Terbaik Bangsa di sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut, Ahmad Bashah menyampaikan lima Anugerah Ibu Terbaik Bangsa kepada lima tokoh Wanita UMNO Kedah yang telah memberi sumbangan bakti dalam membantu meningkatkan nama Pergerakan Wanita UMNO negeri.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Khas buat Allahyarham Datuk Wira Dr Maznah Hamid atau lebih dikenali sebagai ‘Iron Lady’ yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 4 Okt lalu dan anugerah diserahkan kepada anak Allahyarham, Datin Nur Sharmila Shaheen Mirza Habib.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This