Perhimpunan Agung UMNO 2017 Beri Contoh Kepada Parti Serpihan Patuhi Perlembagaan

Perhimpunan Agung UMNO 2017 Beri Contoh Kepada Parti Serpihan Patuhi Perlembagaan

PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) — Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 akan menunjukkan kepada parti-parti serpihan UMNO mengenai kaedah melaksanakan mesyuarat agung mengikut perlembagaan parti yang menepati kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tanpa menyebut parti yang dimaksudkan, beliau berkata terdapat parti serpihan yang ditubuhkan atas dasar ketidakpuasan hati dan kepentingan diri masing-masing sehingga tidak mengikut perlembagaan parti yang dibuat oleh mereka sendiri.

“Saya percaya ramai yang akan hadir untuk melihat bagaimana sebuah parti (UMNO) yang telah ditubuhkan sejak lebih tujuh dekad melaksanakan mesyuarat mengikut perlembagaan dan yang dikehendaki oleh RoS.

“Jadi kita ingin tunjukkan kepada semua untuk mencontohi apa yang UMNO lakukan,” kata Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, selepas melancarkan majlis berkhatan beramai-ramai anjuran kementerian itu, di sini hari ini.

Baru-baru ini, dilaporkan permohonan pendaftaran Pakatan Harapan masih belum diluluskan RoS antaranya atas faktor kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengadakan perhimpunan agung tahunan sejak parti itu didaftarkan serta permohonan pindaaan perlembagaan PPBM yang belum diluluskan.

Tengku Adnan berkata beliau percaya parti serpihan seperti itu akan menjadi seperti parti serpihan lain sebelum ini yang telah berkubur kerana ditubuhkan atas dasar ketidakpuasan hati dan bukan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa.

Katanya ini berbeza dengan UMNO yang mempunyai landasan dan perancangan tersendiri sejak ia ditubuhkan pada tahun 1946 sehingga kini, antaranya Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Saya percaya parti serpihan ini tidak akan lama seperti cendawan tumbuh sebelum pilihan raya dan akan mati seperti cendawan mati,” katanya.

Ditanya mengenai harapannya terhadap PAU 2017 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada 5 hingga 9 Dis ini, beliau berkata ia diharap dapat menerapkan mentaliti menang dalam semua anggota UMNO memandangkan ini adalah perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kita percaya taklimat dan ucapan dasar presiden akan menjurus kepada PRU14. Jadi saya berharap supaya perbahasan menjurus kepada itu dan tidak menyentuh perkara-perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Mengenai budaya lobi-melobi untuk menjadi calon PRU14, Tengku Adnan berkata UMNO mempunyai kaedah berbeza untuk memilih calon yang dikehendaki oleh rakyat dan bukannya yang dikehendaki oleh parti atau ketua bahagian.

“Kita ada metodologi sendiri di mana kita buat saringan untuk memilih calon,” katanya.

Bagi memastikan semangat semasa PAU dikekalkan selepas perwakilan pulang ke kawasan masing-masing, Tengku Adnan berkata pasukan naziran UMNO akan melaporkan keadaan di setiap bahagian dan cawangan mengenai gerak kerja mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This