Perodua Myvi baharu dapat pensijilan keselamatan lima bintang

Perodua Myvi baharu dapat pensijilan keselamatan lima bintang

PUTRAJAYA: Perodua Myvi baharu telah menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP), kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Aminar Rashid berkata, sebagai syarikat “Orang Ramai Diutamakan’ Myvi baharu itu merupakan usaha terhebat setakat ini dalam menjamin keselamatan pemandu dan penumpang kenderaan tersebut.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyampaikan sijil pengiktirafan itu pada Seminar “ASEAN NCAP: Ke Arah Autonomi” di Kajang, semalam.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MIROS dan ASEAN NCAP untuk kerjasama dan bimbingan mereka dalam membantu Perodua menjadikan Myvi baharu kereta lima bintang,” kata Aminar Rashid.

Kereta baharu berkenaan, diuji dan dinilai berdasarkan protokol terbaru ASEAN NCAP 2017-2020, mencatatkan 32.71 mata daripada kemungkinan 36 untuk Perlindungan Penghuni Dewasa (AOP), iaitu pematuhan 90.9 peratus dan 43.14 mata daripada kemungkinan 49 untuk Perlindungan Penghuni Kanak-Kanak (COP), mewakili 88 peratus pematuhan.

Penarafan keselamatan lima bintang digunakan untuk semua varian Myvi babaru, yang dilengkapi dengan empat beg udara, sistem brek anti-kunci dengan Pengedaran Kuasa Brek Elektronik, Kawalan Kestabilan Kenderaan, Isyarat Berhenti Kecemasan, titik lampiran untuk tempat duduk keselamatan kanak-kanak, sensor mengundur dan peringatan tali pinggang keselamatan untuk semua kerusi.

Selain itu, varian 1.5 dilengkapi dengan enam beg udara, manakala 1.5 Advance juga termasuk suite Bantu Keselamatan Canggih bagi sistem keselamatan aktif, yang terdiri daripada amaran praperlanggaran, brek praperlanggaran dan peringatan berlepas depan.

Aminar Rashid berkata, Myvi baharu itu adalah kenderaan pertama di Malaysia untuk memperkenalkan ciri-ciri keselamatan tercanggih pada lingkungan harga ini.

“Malah, ia adalah kereta yang paling berpatutan dengan brek kecemasan autonomi di Malaysia. Dengan Myvi baharu, kami memperkenal keselamatan aktif kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata, Myvi tersebut adalah kereta lima bintang Perodua yang kedua selepas Bezza.

Tahun lepas, ASEAN NCAP menganugerahkan Perlindungan Penghuni Kanak-kanak Terbaik dan Perlindungan Penghuni Dewasa Terbaik kepada Bezza dalam kategori kereta keluarga kecil. Semua kenderaan kami dinilai oleh ASEAN NCAP dan mematuhi pelbagai peraturan keselamatan,” katanya. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This