Pra-pesanan iPhone X di Malaysia mulai 17 Nov, netizen teruja

Pra-pesanan iPhone X di Malaysia mulai 17 Nov, netizen teruja

BUAT peminat setia produk keluaran syarikat teknologi gergasi Apple Inc, pastinya mereka menanti kemunculan peranti terbaharu iPhone X yang bakal berada di pasaran Malaysia 24 November ini.

Pra-pesanan iPhone X atau sebutannya ‘iPhone ten’ di Malaysia boleh dibuat mulai Jumaat, 17 November ini melalui syarikat telekomunikasi terkemuka seperti Celcom, Digi dan U Mobile.

Hebahan tersebut diwar-warkan melalui perkongsian di laman media sosial Facebook mereka.

Setakat ini, syarikat telekomunikasi terbabit masih belum mengeluarkan sebarang butiran mengenai harga kontrak buat produk itu.

Ia dijangka dijual pada harga RM5,149 untuk storan 64GB dan RM5,899 bagi storan 256GB.

Anda juga boleh membuat pra-pesanan iPhone X melalui laman web Apple.

Rata-rata netizen juga meluahkan perasaan teruja untuk mengetahui harga kontrak yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi dan memiliki model terbaharu tersebut.

Apple sebelum ini melancarkan peranti iPhone X pada 3 November lepas yang boleh didapati di lebih 50 negara termasuk Amerika Syarikat, China, United Kingdom, Singapura, Australia, Jepun dan India.

Berbanding dengan iPhone 8 atau sebelumnya, iPhone X mempunyai skrin 5.8 inci dan boleh diakses melalui ciri baharu pengesanan wajah iaitu “Face ID”.

Sempena ulang tahun ke-10, Apple Inc memperkenalkan versi unik yang mempunyai skrin menyeluruh berpaparan Super Retina, pengecasan tanpa wayar dan Animoji iaitu revolusi emoji baharu.

Ia juga boleh didapati dalam dua warna iaitu Kelabu (Space Grey) dan Perak.

CATEGORIES
TAGS
Share This