Reka bentuk retro Telstar 18 datang dengan teknologi terkini

Reka bentuk retro Telstar 18 datang dengan teknologi terkini

Kuala Lumpur: Piala Dunia FIFA adalah sebuah temasya yang penuh dengan warna-warni dan sentiasa mencipta sejarah yang ikonik untuk diingati sepanjang zaman bagi peminat bola sepak.

Salah satu tumpuan pada setiap edisi Piala Dunia adalah bola rasmi yang digunakan.

Bermula pada edisi 1970 di Mexico, Adidas merupakan pembuat bola rasmi bermula dengan Telstar, bola hitam putih 32 panel heksagon dan pentagon yang diperbuat daripada kulit.

Sejak itu, bola-bola rasmi bagi edisi seterusnya melalui pelbagai revolusi teknologi yang mengubah teknik pembuatan bola sepak dan permainan itu sendiri.

Bagi edisi Piala Dunia Rusia 2018, Adidas kembali kepada rekaan tradisi dengan nama dan rekaan grafik yang diinspirasikan daripada negara tuan rumah itu sendiri.

Bola rasmi Piala Dunia FIFA Rusia 2018, Telstar 18, mempunyai asas berwarna putih, hitam dan kelabu, interpretasi moden daripada rekaan asal Telstar yang digunakan pada edisi 1970 dan 1974.

Setiap logo dan nama Telstar 18 berwarna emas, sepertimana Telstar yang asal pada 1970.

Reka bentuk retro Telstar 18 datang dengan teknologi terkini
Legenda Perancis, Zinedine Zidane bersama bola rasmi Piala Dunia Rusia 2018, Telstar 18 di Moscow. Gambar – Adidas Malaysia.

Buat pertama kalinya, bola rasmi yang bakal digunakan di Rusia pada kejohanan yang akan bermula Jun tahun depan memperkenalkan bentuk panel terbaharu.

Masih dibentuk dengan enam panel seperti bola rasmi edisi sebelumnya iaitu Brazuca yang digunakan di Brazil, ia disatukan dengan teknologi tanpa jahitan selain menampilkan tekstur permukaan 3D untuk kawalan lebih baik.

Selain itu, Telstar 18 juga menjadi bola rasmi pertama yang mengandungi teknologi cip NFC, menjadikannya bola Piala Dunia paling inovatif setakat ini.

Dengan bola ini, pengguna boleh berinteraksi dengan aplikasi yang disediakan Adidas menggunakan telefon pintar, dengan menyentuh peranti itu pada bahagian cip bola tersebut.

Pengguna akan dibawa terus ke laman kandungan eksklusif dan mendapatkan akses kepada cabaran yang boleh disertai pengguna dengan menggunakan bola itu.

Bagaimanapun ia tidak seperti bola Adidas miCoach yang membolehkan pengguna mengetahui maklumat permainan mereka seperti kekuatan, kelajuan, lencongan dan trajektori bola yang disepak.

Bola Telstar 18 dipamerkan untuk pertama kalinya oleh Lionel Messi dan beberapa pemenang Piala Dunia termasuk Zinedine Zidane, Kaka, Alessandro Del Piero, Xabi Alonso, dan Lukas Podolski di Moscow pada 10 November 2017.

Dari kiri, Alessandro Del Piero, Lucas Podolski, Zinedine Zidane, Kaka dan Xabi Alonso di Moscow, Rusia. Gambar – Adidas Malaysia.

CATEGORIES
TAGS
Share This