Rumah terbakar di Kampung Baru

Rumah terbakar di Kampung Baru

KUALA LUMPUR -Sebanyak 15 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini hari ini.

Ia menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan itu yang terletak di tengah-tengah ibu kota dan dapat dilihat beberapa kilometer dari lokasi kebakaran.

Operasi memadamkan api membabitkan 50 pegawai dan anggota bomba yang turut dibantu penduduk dan orang ramai.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bomba dan Balai Bahagian Operasi Kuala Lumpur, Ahmad Adli Abdul Rahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.39 pagi, dan api berjaya dikawal pada 10.12 pagi.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kesemua mangsa akan ditempatkan buat sementara di kediaman Program Perumahan Rendah (PPR) yang akan ditetapkan.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu berkata, beliau difahamkan kejadian berpunca daripada sebuah rumah yang disewakan sebelum ia kemudiannya merebak ke rumah lain.

“Saya nasihatkan penyewa rumah agar tidak membuat sebarang penyambungaan wayar elektrik tanpa pengetahuan pihak Tenaga Nasional Berhad,” katanya yang ditemui pemberita ketika melawat lokasi kejadian. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This