Setiap pihak perlu ada pemikiran keusahawanan untuk capai Industri 4.0

Setiap pihak perlu ada pemikiran keusahawanan untuk capai Industri 4.0

KUALA LUMPUR: Sudah masanya untuk semua pihak berganding bahu dan mempunyai pemikiran yang sama dalam menongkah arus Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0.

Tidak hanya kepada pemain industri, malah kerajaan, golongan akademik, insititusi pendidikan, serta masyarakat seluruhnya tidak boleh lagi bekerja dalam kepompong sendiri atau silo dan harus berkongsi segalanya untuk mencapai sasaran yang sama.

“Semua perlu ada pemikiran dan semangat ‘entreprenuerial’ atau keusahawanan.

Bukan menjadi usahawan, tetapi memiliki pemikiran sedemikian.

“Barulah setiap daripadanya berfikir untuk menyelesaikan masalah bersama, bukannya menyalahkan mana-mana pihak apabila sesuatu yang disasarkan tidak tercapai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Datuk Norhalim Yunus.

Apabila persefahaman terjalin, ia membolehkan pemindahan ilmu pengetahuan daripada para akademia bagi menyelesaikan segala macam masalah yang dihadapi usahawan, sekaligus meningkatkan produktiviti dan seterusnya pengkomersialan produk yang dihasilkan.

Maka, penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan di institusi pengajian tinggi dan pusat-pusat kajian tidak akan disiakan dan dapatannya akan diterap untuk manfaat industri.

Malah sebenarnya kata Norhalim lagi, penyelidikan tidak lagi harus dijalankan bagi memenuhi kehendak sesuatu syarikat atau pihak yang menaja, tetapi untuk kebaikan sejagat.

“Melihat gambaran yang lebih besar, kita perlu ada rasa tanggungjawab yang dikongsi bersama, untuk membangunkan seluruh industri,” ujarnya dalam sesi dialog ‘Mendemokrasikan Pengkomersialan melalui Kolaborasi Antara Institut’ pada hari kedua Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Justeru katanya, MTDC sentiasa memainkan peranan mendorong para usahawan mengembangkan potensi penghasilan produk dan pasaran sejak 25 tahun yang lepas, dan kini mereka bertindak menjadi ‘orang tengah’ menggerakkan idea kolaborasi antara institut ini.

Selain menjadi badan dana, MTDC turut menganjurkan program kolaborasi antara industri dengan universiti dengan membantu graduan berijazah mengkomersialkan hasil penyelidikan melalui penerbitan syarikat-syarikat ‘start-up’.

MTDC juga ada membangun dan menyediakan pusat-pusat teknologi di beberapa universiti untuk syarikat-syarikat bertapak di dalam kampus dan bekerjasama dengan institusi pengajian terbabit.

CATEGORIES
TAGS
Share This