Setuju ‘gabungan besar’

Setuju ‘gabungan besar’

BERLIN – JERMAN. Pemimpin parti konservatif, Kristian Demokrat (CDU) pimpinan Canselor Jerman, Angela Merkel, kelmarin sebulat suara bergabung dengan Demokrat Sosial (SPD) bagi memecahkan kebuntuan politik di negara ekonomi terbesar Eropah itu.

“Kami mempunyai hasrat untuk menubuhkan kerajaan efektif.

“Kami yakin ia bukan kerajaan minoriti tetapi satu pakatan dengan majoriti Parlimen. Ia adalah gabungan yang besar,” kata perdana menteri konservatif di negeri Schleswig Holstein, Daniel Guenther.

Sementara itu, Ketua Kesatuan Sosial Kristian di Bavaria (CSU), Horst Seehofer berpendapat pakatan konservatif dan SPD adalah pilihan terbaik buat Jerman berbanding gabungan dengan Demokrat Bebas dan parti Hijau, pilihan raya baharu atau kerajaan minoriti.

Kaji selidik dilakukan Emnid menunjukkan 52 peratus rakyat di negara itu menyokong gabungan besar tersebut.

Minggu lalu, Merkel yang memenangi penggal keempat berdepan kesukaran membentuk kerajaan kira-kira seminggu lalu apabila rundingan tiga pihak bersama Demokrat Bebas (FDP) dan parti Hijau menemui jalan buntu.

Di bawah tekanan kuat untuk mengekalkan kestabilan dan mengelakkan pilihan raya baharu, SPD akhirnya bersetuju untuk berunding dengan Merkel.

Perundingan itu sekali gus tingkatkan prospek gabungan besar baharu yang telah memerintah empat tahun lalu atau kerajaan minoriti. – Reuters

CATEGORIES
TAGS
Share This