Shaheizy Sam belum muflis, tak salahkan sesiapa

SHAHEIZY SAM: Apa yang penting, saya belum disahkan muflis. Apa yang tersiar di dada akhbar cuma notis sahaja.

PELAKON Shaheizy Sam tidak menyalahkan mana-mana pihak berkenaan isu tunggakan cukai dan notis muflis yang sedang dihadapi olehnya.

“Sejujurnya, saya tak boleh salahkan sesiapa, tak boleh tunding jari kepada mana-mana pihak.

“Saya sendiri kena sedar kesalahan sendiri, mungkin saya ambil masa terlalu lama untuk menyelesaikan perkara tersebut. Atas sebab itu, saya tak mahu salahkan pihak lain.

“Apa yang penting, saya belum disahkan muflis. Apa yang tersiar di dada akhbar cuma notis sahaja.

“Buat masa ini, belum ada keputusan akhir berkenaan isu itu. Selepas saya mendapat jawapan, saya pasti akan beritahu.

“Kini, saya tak mahu memanjangkan cerita kerana semuanya masih dalam proses perbincangan untuk menyelesaikan perkara tersebut,” katanya.

Tambah Sam, dia menganggap perkara ini sebagai ujian yang mempunyai hikmah tersendiri.

“Isu yang mendatang adalah ujian buat saya. Sebelum ini, saya tak peka dengan perkara sebegini.

“Pengajarannya adalah saya harus menyelesaikan perkara ini dalam kadar segera.

“Selepas ini, saya harus lebih peka. Jika perkara ini tak berlaku, saya tak akan tahu,” kata Sam ketika ditemui di Majlis Pelancaran Trailer dan Runut Bunyi filem Pinjamkan Hatiku semalam.

Filem ini merupakan filem pertama lakonan Sam dibawah arahan Osman Ali.

“Saya sememangnya mahu bekerja dengan Osman. Sudah lama saya menyimpan hasrat tersebut semenjak menyaksikan filem Anak Halal.

“Alhamdulillah, saya berpeluang berlakon bawah arahan Osman dan tak sabar menantikan reaksi penonton,” katanya lagi.

Filem Pinjamkan Hatiku yang dibintangi oleh Sam bersama Ayda Jebat dan Farid Kamil bakal menjengah pawagam pada 30 November 2017.