Tak sabar berdepan Red Giants

Ken Ilso Larsen dan Liridon Krasniqi gandingan import Kedah yang sering menghadirkan masalah kepada pertahanan lawan.

PENYANDANG juara, Kedah akan menurunkan kesebelasan terkuatnya menjelang suku akhir pertama Piala Malaya menentang Selangor yang dijadualkan hujung minggu ini.

Ketua jurulatihnya, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, semua pemain utamanya yang bersama skuad kebangsaan sebelum ini kembali semula selepas dikecualikan aksi akhir Kumpulan C Piala Malaysia menentang Kelantan, kelmarin.

Menurutnya, Hijau Kuning bersedia memberikan aksi terbaik untuk memburu bekalan selesa di laman lawan.

“Saya lihat semua pemain import bersedia untuk meneruskan momentum pada peringkat suku akhir selepas lebih sebulan berehat dan mereka akan digandingkan semula bersama semua pemain kebangsaan pada perlawanan seterusnya.

“Tahniah juga kepada semua pemain muda kerana mengalas tugas dengan baik untuk menang tanpa bolos dan saya harap mereka mampu mengekalkan rentak ini,” katanya.

Biarpun berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan pemain pelapis beliau berkata, mereka memerlukan lebih masa dan perlawanan lagi untuk menggalas tugas di peringkat lebih tinggi.