Tiada kes mata wang digital diguna bagi pembiayaan keganasan di Malaysia

Tiada kes mata wang digital diguna bagi pembiayaan keganasan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Tiada kes dilaporkan bahawa mata wang digital digunakan bagi pembiayaan keganasan di Malaysia, kata Pengarah Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia, Abd Rahman Abu Bakar.

“Kita tidak menyaksikan mata wang digital digunakan bagi pembiayaan keganasan,” kata beliau pada sidang media semasa Sidang Kemuncak Anti Pembiayaan Keganasan ketiga anjuran Bank Negara dengan kerjasama agensi perisikan kewangan Australia dan Indonesia, di sini pada Khamis.

Abd Rahman berkata ramai orang di Malaysia menggunakan mata wang digital untuk tujuan pelaburan daripada menggunakannya sebagai medium pertukaran atau membeli sesuatu yang mereka minat.

“Tidak ada langsung (mata wang digital) digunakan sebagai mata wang, ramai orang sebenarnya membelinya untuk tujuan pelaburan,” kata beliau.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Transaksi Laporan dan Analisis Australia (AUSTRAC) Peter Clark dan Ketua Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Keuangan (PPATK) Indonesia, Bapak Kiagus Ahmad Badaruddin.

Pada Rabu, dalam langkah pertama untuk mengawal selia mata wang crypto di Malaysia, Bank Negara dilaporkan berkata ia menganggap semua pihak perlu bertindak sebagai “institusi pelapor” yang memerlukan mereka memberi maklumat terperinci mengenai pembeli dan penjual mata wang tersebut.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim juga menyatakan kemungkinan mata wang digital menjadi “norma baharu” dan bahawa bank pusat tidak dapat menyedari mengenai perkembangan ini.”

Mengulas mengenai langkah itu, Abd Rahman berkata Bank Negara sebenarnya akan membuat penukaran atau orang yang menyediakan perkhidmatan pertukaran bagi mata wang crypto melaporkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang akan berkuatkuasa pada Januari tahun depan.

Clark mengulangi pandangannya dan menegaskan bahawa; “Anda sepatutnya mempunyai kebolehlihatan mengenai aktiviti-aktiviti penukar berhubung langkah itu,” kata beliau.

Sementara itu, Bapak Kiagus berkata di Indonesia, mata wang digital tidak diiktiraf sebagai mata wang dan pada masa ini pengawal selia mereka masih memikirkan mengenai dasar bagi pemain industri.

Mengulas trend seterusnya pembiayaan keganasan pada masa akan datang, Abd Rahman berkata Bank Negara telah mengenal pasti kawasan-kawasan di dalam dan di luar negara sebagai berisiko tinggi bagi jenayah ini.

“Kita telah berkongsi ini dengan institusi pelapor supaya mereka lebih berhati-hati ketika melakukan transaksi di tempat tersebut. Tetapi sekali lagi, ia sentiasa berubah dan perubahan sentiasa mewajarkan kita untuk segera bertindak dan langkah-langkah mitigasi dilaksanakan dengan segera yang kita harus usahakan secepat mungkin,” kata beliau.

Abd Rahman percaya bahawa apabila ada seseorang di rantau itu mendakwa sebagai emir (pemimpin) Daesh yang baharu, perkara itu perlu diberi fokus dan harus menjadi perhatian utama bagi unit perisikan pembiayaan.

Mengenai penubuhan Kumpulan Anti Pembiayaan Keganasan Asia Tenggara (SEA CTFWG), Clark berkata kumpulan kerja itu akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha yang telah dijalankan terutama bagaimana menggerakkan kerjasama di seluruh rantau ini.

“Ini memerlukan banyak perkongsian maklumat dan kerjasama. Pada masa ini, kami menyedari bahawa ada cara baharu yang boleh kita kaji dalam perkongsian maklumat, bekerjasama dalam kumpulan kerja ini,” kata beliau.

Semalam, Menteri Keadilan Australia Michael Keenan semasa sidang kenuncak tersebut, mengumumkan penubuhan kumpulan baharu terdiri daripada negar-negara di seluruh Asia Tenggara bagi melumpuhkan kumpulan pengganas, sumber pembiayaan mereka, pergerakan dan penggunaan dana serta pembiayaan ekonomi mereka di rantau itu.

Sidang kemuncak selama empat hari yang bermula Isnin, menghimpunkan lebih 350 pakar dan profesional dari organisasi antarabangsa untuk berkongsi cerapan mengenai isu dan perkembangan pembiayaan keganasan terkini.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This