Wartawan dan Jurufoto Wira Yang Tidak Didendang

Wartawan dan Jurufoto Wira Yang Tidak Didendang

Oleh Norul Akma Mohd Zain

PULAU PINANG, (Bernama) — Sejak dua bulan kebelakangan ini Pulau Pinang dilanda musibah silih berganti daripada tanah runtuh dan kemalangan jalan raya yang mengorbankan banyak nyawa sehinggalah kepada banjir besar.

Rakyat seluruh negara dengan cepat mendapat perkhabaran tentang kisah sedih yang dialami oleh mereka yang ditimpa musibah itu menerusi dada akhbar serta berita dalam talian… ini semua berkat kegigihan golongan wartawan serta jurugambar yang gigih melaporkan insiden berkenaan tanpa mengira penat lelah dan bahaya yang mungkin menimpa diri.

Seseorang jurufoto perlu kreatif dan berani bagi mendapatkan sudut yang menarik bagi merakamkan gambar untuk tatapan umum

Mereka ini sewajarnya dianggap sebagai ‘wira yang tidak didendang’ kerana tanpa mereka tidak mungkin bantuan dapat dihulurkan kepada golongan yang ditimpa musibah dengan cepat dan berkesan.

Muhamad Amir Irsyad Omar, jurufoto New Straits Times (NST) yang begitu komited terhadap kerjayanya sehinggakan beliau terpaksa mengorbankan masa cutinya demi menyalurkan informasi terkini sejak bermulanya tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah sehinggalah ke hari ini untuk membuat liputan pascabanjir.

“Kalau hendak dikira saya sudah membuat liputan sejak hari pertama tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah pada 22 Sept lalu kemudian tragedi berdarah dua bas kilang di Juru pada 24 Okt dan sekarang untuk bencana banjir pula,” kata Muhamad Amir kepada Bernama ketika ditemui membuat liputan pascabanjir, di sini.

Muhamad Amir berkata, tuntutan kerjanya sebagai jurufoto tidak melunturkan semangatnya dalam mendepani cabaran, bagi menyampaikan foto yang menarik dan dilengkapi maklumat terkini serta tepat kepada pembaca.

Sementara itu, Hafiz Zulkeflli, jurukamera Astro Awani berkongsi pengalaman pahit manis semasa membuat liputan di lokasi bencana sejak dua bulan kebelakangan ini.

“Sebagai jurukamera, cabaran yang kami hadapi ialah ketika membuat liputan di tempat-tempat berisiko seperti di cerunan bukit serta mengharungi banjir sehingga paras dada. Semua ini dilakukan demi untuk mendapatkan visual yang terbaik dan pada masa yang sama, kami juga perlu menjaga keselamatan diri dan peralatan lain.

“Ini tugas yang mencabar tetapi amat berbaloi apabila melihat visual kita diguna pakai untuk siaran berita,” katanya yang juga terpaksa melupakan segala aktiviti riadahnya bersama keluarga dan rakan-rakan.

Wartawan penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Nisrin Mohd Noh ketika ditemui Bernama menyatakan bahawa pekerjaan sebagai wartawan penyiaran memerlukan ketahanan fizikal dan mental bagi menyalurkan maklumat yang terkini, padat dan berinformasi kepada penonton tidak kira waktu, tempat dan situasi.

“Contohnya ketika tragedi tanah runtuh dan banjir yang berlaku baru-baru ini memerlukan pasukan kami berada di lokasi sehingga lewat malam, demi mendapatkan perkembangan maklumat terkini.

“Semua ini dilakukan atas dasar profesional sebagai wartawan penyiaran, ” kata Nisrin yang turut turun padang bersama jurukameranya untuk membuat liputan di kawasan bencana banjir tanpa mempedulikan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Dalam pada itu, dua petugas Bernama iaitu jurufoto dan jurufoto ‘drone’ yang didatangkan khas dari ibu pejabat, Mohd Zulfadhli Zulkarnain dan Muhammad Zulhilmi Daud sejak Ahad lalu, menyifatkan liputan berita mengenai bencana banjir sepanjang tujuh hari di negeri ini, sebagai pengalaman berharga.

“Cabaran yang kami hadapi semasa membuat liputan banjir termasuklah keadaan angin yang kuat hingga menyebabkan kerja mengendali ‘drone’ sukar dilakukan, ” kata Zulhilmi.

Beliau turut berterima kasih kepada pasukan bomba yang membawa mereka meredah banjir setinggi tiga meter, untuk mencari kawasan pedalaman seperti di Kampung Tepi Sungai di sini, yang merupakan kawasan terpencil dan sukar ditemui oleh media lain.

Zulfadhli juga turut berkongsi pengalaman bersama anggota pasukannya yang beberapa kali tersesat ketika melalui kawasan pedalaman di sekitar Bukit Mertajam dan beberapa kawasan di Tasek Gelugor semata-mata untuk mendapatkan foto eksklusif.

“Ahad merupakan hari terakhir kami berada di sini dan kami sentiasa bersedia untuk menyambung khidmat jika diperlukan untuk membuat sebarang tinjauan dari udara mahupun foto,” tambah Zulfadhli lagi.

Walau apa pun keadaan yang berlaku, sama ada di negeri ini mahupun di tempat lain, khidmat mereka yang begitu setia dan dedikasi tanpa mengira waktu patut diberi pujian kerana pasukan inilah yang merupakan ‘jambatan’ yang menghubungkan maklumat kepada masyarakat keseluruhannya demi pembangunan agama, bangsa dan negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This