Zahasmi akur Kelantan tersingkir

Pemain TRW mengasak pemain Kedah, Sandro Da Silva dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam kelmarin.

JURULATIH Kelantan, Zahasmi Ismail menerima penyingkiran pasukannya dalam kempen Piala Malaysia musim ini dengan hati terbuka selepas tewas 0-2 kepada Kedah pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Alor Setar, malam kelmarin, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Zahasmi berkata, walaupun kecewa dengan kegagalan tersebut, namun dia perlu akur betapa perjuangan The Red Warriors (TRW) terhenti lebih awal dalam pertandingan piala paling berprestij itu.

“Termasuk malam tadi (kelmarin, bertemu Kedah) sudah tiga kali kita ada peluang untuk ke suku akhir setelah pada satu ketika kita mendengar UiTM FC mendahului lawan (Melaka United) tetapi terlepas begitu sahaja.

“Sebelum ini, kita sepatutnya menang ke atas UiTM FC dan Melaka United tetapi ia tidak berlaku. Apa lagi saya hendak cakap, bukan rezeki Kelantan, pada tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut, pengendali itu memberitahu, ketumpulan jentera serangan menyebabkan pasukannya gagal memberi saingan sekali gus tidak berupaya menewaskan juara bertahan musim lalu, pada pertemuan tersebut.

“Masalah kita adalah penyudah yang tumpul, itu sahaja. Kita pergi (lancar serangan) tetapi tak boleh jaringkan gol. Berbanding Kedah, mereka memperoleh gol mudah hasil kesilapan pemain kita sendiri membiarkan pemain lawan bergerak bebas,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This