1 pekerja maut, 2 di ICU selepas terhidu gas beracun di loji rawatan air Singapura

1 pekerja maut, 2 di ICU selepas terhidu gas beracun di loji rawatan air Singapura

SINGAPURA,. Seorang pekerja subkontraktor maut manakala dua lagi sedang dirawat di unit rawatan rapi Hospital Besar Ng Teng Fong selepas mereka ditemui tidak sedarkan diri semasa melakukan pembersihan tangki rutin di loji Rawatan Air Choa Chu Kang (CCKWW) di sini.

Jurucakap Agensi Air Nasional Singapura (PUB) berkata insiden itu berlaku pada 11.15 pagi Khamis dan siasatan awal menunjukkan pekerja asing tersebut telah terhidu hidrogen sulfida, gas yang dihasilkan daripada enap cemar, iaitu sisa daripada proses rawatan air.

“Kami sedang berhubung dengan kontraktor kami dan akan memberikan sokongan kepada ahli keluarga pekerja tersebut,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.

PUB berkata sebagai langkah berjaga-jaga, agensi tersebut telah menghentikan sementara operasi serupa di ruang tertutup dan sedang mengkaji semula langkah keselamatan.

“Keselamatan di semua tempat kerja kami adalah sangat penting kepada PUB. Kami akan bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan,” katanya.

CCKWW, yang terletak di bahagian barat Singapura, adalah loji rawatan air kedua terbesar di negara ini dan mempunyai kapasiti rawatan sebanyak 80 juta gelen sehari.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This