10 anggota sindiket ibu tumpang didakwa

10 anggota sindiket ibu tumpang didakwa

BANGKOK,. Bahagian Anti Penyeludupan Manusia (ATPD) Thailand menahan 10 suspek yang disyaki terbabit dalam sindiket ibu tumpang.

Mereka termasuk lima pakar sakit puan, masing-masing tiga dari hospital swasta dan dua dari hospital kerajaan serta seorang juruteknik makmal yang melakukan persenyawaan telur dengan sperma model yang berparas cantik.

Selain itu, empat lagi adalah suspek perempuan bertindak sebagai ejen mencari wanita yang sanggup menjadi ibu tumpang atau ‘menyewakan’ rahim mereka.

Dalam satu serbuan pada 13 Februari lalu, polis berjaya menahan 21 suspek manakala dua berjaya melarikan diri ke China.

Semalam, 10 daripada suspek terbabit dibawa ke Pejabat Peguam Negara dan didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan jenayah.

Mereka juga dituduh melanggar Akta Perlindungan Kanak-Kanak Dilahirkan Menerusi Teknologi Persenyawaan.

Majlis Perubatan Thailand sedang bekerjasama dengan ATPD untuk mengambil tindakan disiplin dan pelanggaran tanggungjawab terhadap lima doktor yang ditahan.

Difahamkan, pihak polis juga akan mendakwa wanita yang menjadi ibu tumpang selain menyoal siasat suspek yang ditahan bagi membongkar sindiket lain seumpamanya. – AGENSI

CATEGORIES
TAGS
Share This